Pestec selesaikan saman dengan bekas CEO kumpulan, bekas timbalan pengerusi berhubung dakwaan pendahuluan belum berbayar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestec selesaikan saman dengan bekas CEO kumpulan, bekas timbalan pengerusi berhubung dakwaan pendahuluan belum berbayar

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Pestec International Bhd memaklumkan telah menyelesaikan saman yang difailkan oleh bekas CEO kumpulannya, Paul Lim Pay Chuan, dan bapa saudaranya yang juga bekas timbalan pengerusi, Lim Ah Hock, berhubung dakwaan pendahuluan belum berbayar berjumlah RM17.52 juta.

 

Syarikat kejuruteraan grid kuasa dan rangkaian rel itu berkata dalam satu pemakluman di bursa, pihak-pihak terlibat telah mencapai penyelesaian secara baik selepas perbincangan.

 

Butiran mengenai penyelesaian tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

 

Di bawah saman itu, Ah Hock menuntut RM11.29 juta hutang tertunggak beserta faedah, manakala Pay Chuan menuntut RM6.23 juta.

 

Saman yang difailkan pada bulan Julai lalu itu berlaku di tengah-tengah pertelingkahan kepimpinan di Pestec. Awal bulan yang sama, syarikat itu menyingkirkan Pay Chuan sebagai CEO kumpulan dan melantik beliau semula sebagai pengarah bukan eksekutif.

 

Pestec menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil berikutan keengganan Pay Chuan untuk kembali bertugas walaupun usaha perdamaian telah dijalankan oleh Jabatan Perhubungan Perindustrian Selangor.

 

Ah Hock pula pada masa sama turut dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif. Tiada penjelasan diberikan oleh Pestec berhubung langkah tersebut.

 

Pay Chuan telah memegang jawatan CEO kumpulan sejak Oktober 2020, manakala Ah Hock pernah berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif sejak 2011, sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi pada Disember tahun lalu, dan kemudiannya sebagai pengarah bukan eksekutif pada Julai tahun ini.

 

Kedua-duanya sebelum ini merupakan pemegang saham utama syarikat kejuruteraan tersebut sehingga hujung tahun lalu.

 

Pada Disember tahun lalu, penempatan saham terhad yang diselesaikan menyaksikan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) muncul sebagai pemegang saham pengawal baharu syarikat dengan pegangan 57.52%. Pegangan Ah Hock telah dicairkan kepada 9.21% daripada 21.69%, manakala pegangan Pay Chuan menurun kepada 5.03% daripada 11.84%.

 

Satu lagi terbitan terhad yang diselesaikan pada Jun tahun ini menyaksikan DMIA meningkatkan pegangan kepada 61.39%, sementara pegangan Ah Hock merosot kepada 8.38% dan Pay Chuan kepada 4.52%. - DagangNews.com