Pertumbuhan hasil Gamuda dijangka lewat dicatatkan susulan hanya diiktiraf mulai 1HFY27 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan hasil Gamuda dijangka lewat dicatatkan susulan hanya diiktiraf mulai 1HFY27 – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Jan — Pertumbuhan pendapatan dicatatkan Gamuda Berhad diunjur mengalami kelewatan dalam jangka terdekat dan diramal bermula separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27).


Menurut Maybank Investment Bank, perkembangan tersebut susulan pengiktirafan hasil dan keuntungan diperoleh kumpulan berkenaan yang hanya akan meningkat secara bermakna bermula pada tempoh itu.


Firma penyelidikan itu justeru mengekalkan saranan 'beli', namun menurunkan harga sasaran (TP) yang berasaskan kaedah jumlah bahagian perniagaan (SOTP) kepada RM5.30 berbanding RM5.79 sebelum ini.


"Unjuran tersebut sekali gus mencerminkan potensi kenaikan Gamuda diramal lebih sederhana dalam tempoh terdekat daripada pertumbuhan tinggi dicatatkan selama ini," katanya dalam nota kajian. 


Selain itu tambah Maybank IB, jangkaan tersebut berikutan kira-kira 70% daripada buku tempahan pembinaan dan kejuruteraan (E&C) kumpulan bernilai RM45.9 bilion masih berada pada peringkat awal.


Kadar siap kurang daripada 15%, dengan kebanyakan projek dalam fasa reka bentuk, dan perolehan, menyebabkan pengiktirafan hasil dijangka dipercepatkan pada separuh kedua 2026 atau awal FY27.


Dalam segmen hartanah pula, sasaran jualan RM5.5 bilion bagi FY26 berisiko terlepas sedikit sasaran berikutan kemungkinan penangguhan sekitar RM1.0 bilion jualan projek Gamuda City di Hanoi, Vietnam.


"Ia susulan kelewatan proses kelulusan kawal selia, namun jualan hartanah domestik Malaysia dilihat masih lagi menunjukkan prestasi yang lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya," kata Maybank IB.


Sejajar dengan perkembangan tersebut, firma itu menyemak turun unjuran keuntungan teras Gamuda bagi FY26 hingga FY28 antara 4% hingga 11%, tetapi kekal optimis prospek jangka panjang syarikat itu.


Ramalan positif tersebut jelasnya, apabila pengiktirafan hasil daripada buku tempahan pelbagai projek yang sedia ada mula memasuki fasa pertengahan kumpulan berkenaan dalam bentuk keluk ‘S’.


Firma itu turut menegaskan bahawa potensi kemenangan projek baharu dalam tempoh terdekat, termasuk projek LRT Pulau Pinang, skim bekalan air Ulu Padas, serta projek air mentah Perak-Pulau Pinang.


"Sekiranya Gamuda meraih banyak tender besar dalam masa terdekat, kontrak kumpulan itu berupaya menjadi pemangkin positif kepada prestasi Gamuda pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com