Persidangan Air Bawah Tanah Antarabangsa IGM 2025: Himpunkan Pakar Air Bawah Tanah Global di UKM Bangi 10-11 September 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Air Bawah Tanah Antarabangsa IGM 2025: Himpunkan Pakar Air Bawah Tanah Global di UKM Bangi 10-11 September 2025

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Sept - Institut Geologi Malaysia (IGM) bakal menganjurkan Persidangan Air Bawah Tanah Antarabangsa IGM atau IGM International Groundwater Conference (IIGC) 2025 pada 10 hingga 11 September 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

 

Persidangan ini menghimpunkan pakar-pakar air bawah tanah dari seluruh dunia untuk membincangkan isu air bawah tanah semasa, teknologi dan strategi pengurusan sumber air bawah tanah secara lestari.

 

Persidangan ini dianjurkan oleh Geowater Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Geologi Malaysia, UKM, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta NAHRIM Malaysia.

 

Beberapa organisasi antarabangsa dijadualkan hadir sebagai penceramah jemputan, termasuk IGRAC (International Groundwater Resources Assessment Centre) iaitu agensi tunggal air bawah tanah di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), IAH (International Assoc. of Hydrogeology) iaitu persatuan terbesar pengamal air bawah tanah antarabangsa.

 

Selain itu, DELTARES iaitu sebuah institut penyelidikan air Belanda terkemuka dunia, QUT (Queensland University of Technology) yang merupakan sebuah universiti Australia yang terkenal dengan penyelidikan sains alam sekitar.

 

Dan akhir sekali, ITB (Insitut Teknologi Bandung) iaitu sebuah universiti penyelidikan awam ternama di Indonesia.

 

Persidangan dua hari ini akan dimulakan dengan bengkel pra-acara pada 10 September yang merangkumi topik Air Bawah Tanah seperti Geokimia dan Geofizik, sebelum diteruskan dengan sesi persidangan utama pada 11 September, bertempat di Auditorium AST Teknopolis, UKM Bangi.

 

Menurut kenyataan penganjur, persidangan antarabangsa ini bukan sahaja menyediakan platform rangkaian bagi para profesional dan pelajar dalam bidang geologi serta hidrogeologi, malah menyokong usaha negara dan global dalam pengurusan sumber air yang mampan, selaras dengan keperluan masa depan terhadap keselamatan air dan kelestarian alam sekitar.

 

Maklumat lanjut mengenai persidangan boleh didapati di https://www.igm.org.my/news/150-iigc-2025 atau melalui e-mel [email protected] (En. Rosland) di talian +6019-6581200. - DagangNews.com