KUALA LUMPUR 23 Julai – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan agar menjalankan penilaian impak secara menyeluruh sebelum mengumumkan cuti tambahan yang tidak berjadual.
"Walaupun kami memahami dan menghargai kepentingan simbolik sambutan Hari Malaysia, cuti umum tambahan – terutamanya yang diumumkan pada notis singkat – boleh memberi kesan negatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Setiap hari cuti tambahan membawa kos sebenar dari segi produktiviti, bayaran kerja lebih masa, dan kelewatan penghantaran, kata Presiden Samenta, Datuk William Ng dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan 15 September sebagai cuti tambahan kepada 16 September.

Ng berkata, pihaknya menyambut baik petunjuk ekonomi yang memberangsangkan seperti yang dikongsikan oleh Perdana Menteri hari ini, khususnya pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh, peningkatan kedudukan daya saing global, dan kestabilan nilai ringgit. Ini merupakan petanda positif bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang kukuh.
"Namun begitu, kami menggesa kerajaan untuk memastikan manfaat daripada pertumbuhan ini turut dirasai secara bermakna oleh sektor PKS, yang masih berdepan cabaran berterusan seperti kesukaran mendapatkan pembiayaan, kekurangan tenaga kerja, dan peningkatan kos operasi.
"Kami menyokong usaha kerajaan dalam menaikkan taraf hidup melalui program seperti STR dan SARA. Dalam masa yang sama, kami menyeru agar lebih banyak sokongan diberikan kepada PKS untuk menghadapi tekanan kos ini, terutamanya melalui subsidi upah, pelepasan cukai yang disasarkan, dan geran automasi," ujar beliau.
Ng berkata, Samenta turut mengambil maklum tentang peluasan inisiatif SARA dan rangkaian jualan Rahmah yang akan merangsang penggunaan domestik.
"Kami menggalakkan kerajaan agar melibatkan PKS, khususnya peruncit tradisional dan perusahaan mikro, sebagai vendor dalam program-program ini, supaya bantuan yang diberikan kepada rakyat turut memberi manfaat kepada perniagaan tempatan," ujarnya.
Samenta juga mengalu-alukan pembekuan kenaikan kadar tol dan komitmen berterusan kerajaan dalam meringankan tekanan kos sara hidup.
"Langkah-langkah ini amat membantu PKS yang sedang bergelut dengan margin keuntungan yang sempit dan peningkatan kos input," kata Ng.
"Sebagai persatuan PKS tertua dan terbesar di negara ini, SAMENTA komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati secara inklusif oleh PKS kita.
"Kami menyambut baik kemajuan yang dicapai, namun menyeru agar langkah-langkah praktikal dilaksanakan untuk menyokong perniagaan kecil sebagai rakan strategik dalam ekonomi MADANI. - DagangNews.com








