KUALA LUMPUR 23 Sept - Pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) sebanyak 25 mata asas mampu membuka ruang pertumbuhan baharu untuk perniagaan tempatan dan menyuntik rangsangan tambahan kepada ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Hal itu berlaku ekoran permintaan domestik Malaysia dijangka terus mencatat momentum positif selepas pemotongan kadar Fed tersebut, demikian menurut hasil webinar terkini anjuran Hong Leong Bank (HLB) di bawah platform HLB Business Matters bertajuk “Unpacking the Fed’s Move: A Post-FOMC Market Analysis.
Menurut HLB, pertumbuhan domestik dijangka positif bersandarkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan unjuran pertumbuhan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berada dalam julat 4.0% hingga 4.8% bagi 2025.
Walaupun berdepan ketidaktentuan global, permintaan domestik dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
"Keputusan FOMC untuk menurunkan kadar faedah buat pertama kali selepas sembilan bulan, serta jangkaan lebih banyak pelonggaran monetari pada masa depan, dijangka mengurangkan perbezaan kadar antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, seterusnya menyokong kestabilan nilai ringgit," kata HLB dalam kenyataan.
Menurut bank perdagangan itu, langkah Fed ini turut membuka ruang kepada pengukuhan Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dolar AS dalam tempoh sederhana, yang boleh mengurangkan kos import dan memberi peluang lindung nilai kepada syarikat terlibat dalam perdagangan antarabangsa.

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan & Korporat HLB, Yow Kuan Tuck berkata, ini merupakan detik penting untuk PKS Malaysia.
“Sebagai sebuah bank, kami komited untuk membantu pelanggan kami merebut peluang pasaran melalui nasihat strategik dan penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan keperluan industri,” katanya.
Mengulas lanjut, Kuan Tuck berkata, pemotongan kadar Fed dijangka mendorong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia.
“HLB bersedia untuk menyokong pelanggan perniagaan kami dari segi penyelesaian perdagangan, transaksi rentas sempadan serta pembiayaan import-eksport.
“Kami bukan sekadar penyedia kemudahan perbankan, tetapi ingin menjadi rakan strategik pertumbuhan dalam era pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global yang baharu,” tambah beliau. - DagangNews.com








