Perniagaan mahu kejelasan mengenai pengembangan cukai SST – Deloitte Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan mahu kejelasan mengenai pengembangan cukai SST – Deloitte Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Sept - Pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bukan sahaja meningkatkan kos, malah menyebabkan banyak perniagaan kabur tentang jenis perkhidmatan yang dikenakan cukai.

 

Menurut Ketua Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew, walaupun rejim SST jelas mengenai perkhidmatan teras, ketidakpastian sering timbul berkaitan perkhidmatan lain.

 

“Sebagai contoh, walaupun jelas perkhidmatan kontraktor pembinaan termasuk dalam kategori pembinaan, namun kemasukan aktiviti lain seperti tambahan, pemasangan, pembaikan, pembaharuan, pemindahan, pengubahsuaian, pembongkaran atau perobohan menimbulkan cabaran kepada perniagaan yang hanya melaksanakan skop kerja terhad untuk menentukan sama ada mereka jatuh dalam skop bercukai atau tidak,” katanya kepada StarBiz.

 

 

bas

 

 

Bermula 1 Julai lalu, SST diperluas kepada lima kategori perkhidmatan baharu iaitu sewaan atau pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, dan pendidikan.

 

Bagi mengurangkan impak kepada isi rumah, hanya barangan bukan keperluan dan barangan import dikenakan cukai, manakala pengganti tempatan kekal pada kadar 0%.

 

Pengecualian turut merangkumi pelepasan kumpulan (urusan dalam kumpulan), urus niaga perniagaan ke perniagaan (B2B) antara syarikat berdaftar, serta tempoh tangguh 12 bulan untuk kontrak yang tidak boleh dikaji semula dan telah dimeterai sebelum 9 Jun 2025.

 

Bagaimanapun, pengecualian B2B dianggap terlalu terhad kerana ia hanya terpakai antara perniagaan berdaftar di bawah kategori perkhidmatan bercukai yang sama dan menjalankan jenis perkhidmatan bercukai yang sama.

 

Tan berkata peraturan itu wajar diperluas supaya pengecualian terpakai setiap kali sebuah perniagaan berdaftar cukai perkhidmatan memperoleh perkhidmatan bercukai daripada perniagaan berdaftar lain. Langkah ini akan dapat mengurangkan kesan negatif daripada SST berlapis sepanjang rantaian bekalan.

 

Dalam kalangan industri yang terjejas, sektor pembinaan dijangka berdepan cabaran paling besar memandangkan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan berada di luar skop sempit pengecualian B2B.

 

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Oliver H.C. Wee berkata, secara lazimnya semua kos tambahan akibat SST akan dipindahkan kepada pelanggan, kecuali kontraktor sanggup menyerapnya – sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

 

Beliau berkata pengurusan aliran tunai bagi kontraktor sememangnya sangat ketat dan mereka tidak mampu menanggung bayaran cukai tambahan terlebih dahulu sebelum menerima bayaran daripada pelanggan.

 

“Kontraktor sudah pun perlu menyediakan keperluan kontrak seperti wang tahanan (retention sum) yang menjejaskan aliran tunai bulanan, serta bon pelaksanaan (performance bond) yang sekali bayar.

 

“Selain itu, terdapat banyak bayaran statutori termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan HRD Corp. Tanpa klausa turun naik harga dalam kontrak swasta, ia menambah lagi tekanan kewangan kepada kontraktor,” jelasnya.

 

Sementara itu, Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) berkata peluasan skop SST memberi kesan “material dan berganda” kepada industri keluli kerana cukai tersebut kini mengenakan kadar 5% ke atas bahan mentah kritikal yang sebelum ini dikecualikan.

 

“Antara bahan mentah yang kini dikenakan SST 5% ialah sekerap keluli, arang batu kok, kok, keluli tahan karat dan jongkong zink,” katanya. - DagangNews.com