KUALA LUMPUR 27 Okt – Perjanjian perdagangan timbal balik yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semalam akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana memaksa Malaysia tunduk kepada peraturan perdagangan Washington, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mendakwa salah satu klausa paling merugikan dalam Malaysia-US Reciprocal Trade Agreement ialah peruntukan yang mewajibkan Malaysia mengikut sebarang sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi yang dilaksanakan oleh AS terhadap negara lain.
“Jika Washington memutuskan untuk menyekat import dari China atau Rusia, Malaysia mesti berbuat demikian juga, walaupun ia boleh menjejaskan ekonomi kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin menyifatkan klausa berkenaan sebagai ancaman terhadap dasar berkecuali Malaysia yang telah lama menjadi asas kekuatan hubungan diplomatik dan perdagangan negara.
“Klausa ini (Artikel 5.1) memaksa Malaysia memilih pihak dalam konflik antarabangsa. Dengan menyelaraskan dasar kita kepada keputusan AS, ia berisiko menakutkan pelabur yang menghargai peranan Malaysia sebagai rakan dagang neutral dan stabil di rantau ini,” katanya.
Malaysia dan AS semalam menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala, meluaskan akses pasaran, serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global.
Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan industri AS termasuk bahan kimia, jentera, logam, peralatan elektrik dan kenderaan penumpang. Ia turut membuka pasaran kepada eksport pertanian AS seperti produk tenusu, ayam dan beras.
Sebagai timbal balik, AS akan mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, dengan beberapa produk menerima kadar sifar di bawah senarai rakan dagang yang diselaraskan.
Selain itu, Malaysia juga berjanji untuk tidak melarang atau mengenakan kuota eksport terhadap mineral kritikal dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan tersebut.
Bagi sektor digital, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat AS, dan memastikan pemindahan data rentas sempadan dapat dilakukan dengan selamat dan dilindungi.
Azmin turut mendakwa perjanjian itu menafikan hak Malaysia untuk mengawal selia pasaran domestik kerana ia memaksa agensi tempatan menerima piawaian AS bagi makanan, ubat-ubatan dan kenderaan.
Beliau turut mendakwa sistem pensijilan halal negara akan terjejas apabila perjanjian tersebut mengiktiraf badan pensijilan asing.
“Manfaat jangka pendek yang ditawarkan tidak sepadan dengan kerosakan jangka panjang. Melaksanakan perjanjian ini tidak akan menjadikan Malaysia lebih kuat, sebaliknya menandakan penyerahan kedaulatan, kenetralan dan masa depan ekonomi kita,” katanya. - DagangNews.com








