KUALA LUMPUR 3 Julai – Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM5 juta kepada sebuah syarikat.
Perintah tersebut dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, selepas prosiding petisyen pemiutang yang berlangsung di sini hari ini.
Menurut dokumen mahkamah, Cekap Air Sdn Bhd memfailkan notis kebankrapan terhadap Jovian, 39, selepas beliau gagal menjelaskan jumlah hutang sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah kepada syarikat pembinaan tersebut.
Peguam mewakili syarikat berkenaan, Siti Nur Athirazatti Rohizad, berkata Jovian sebelum ini gagal mematuhi perintah penghakiman terus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024, yang mengarahkan beliau membayar hutang tersebut.
“Defendan ada memfailkan beberapa permohonan untuk menangguhkan serta membatalkan notis dan petisyen kebankrapan yang difailkan terhadapnya, namun semuanya telah ditolak oleh mahkamah,” katanya kepada media.
Dalam penyata tuntutan, syarikat tersebut menyatakan mereka telah memberikan pinjaman berjumlah RM5 juta kepada Jovian pada 25 Februari 2022.
Pinjaman itu diberikan secara lisan dan tidak rasmi memandangkan pengarah syarikat, Yong Zhen Wei, mempunyai hubungan kenalan dengan Jovian.
Pinjaman tersebut sepatutnya dilunaskan dalam tempoh 12 bulan.
“Malah, tiada sebab untuk pihak plaintif (Cekap Air) meragui defendan (Jovian) memandangkan beliau mempunyai beberapa perniagaan lain dan ketika itu merupakan menantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa Jovian gagal, enggan atau cuai untuk membuat pembayaran semula pinjaman tersebut.
Plaintif juga menegaskan bahawa pada setiap masa yang material, Jovian telah mendapat manfaat secara tidak wajar apabila menerima pinjaman itu tanpa membayar semula, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada syarikat.
Difahamkan, rayuan Jovian terhadap penghakiman terus tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 September ini.
Untuk rekod, Jovian berkahwin dengan anak perempuan Ismail Sabri, Nina, pada 11 Disember 2013 sebelum bercerai pada tahun 2024. - DagangNews.com








