Perak lancar pelan digital negeri 2030-2040 pacu ekonomi masa hadapan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak lancar pelan digital negeri 2030-2040 pacu ekonomi masa hadapan 

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH 4 Jun - Pertumbuhan ekonomi digital negeri Perak bakal dirancakkan menerusi pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040. 

 

Kedua-dua pelan ini disusun berlandaskan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk pemerkasaan teknologi digital serta perancangan bandar berasaskan data dan inovasi. 

 

Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merupakan peneraju  perancangan kedua-dua pelan.

 

Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, pelancaran pelan tersebut  dengan matlamat menjadikan negeri ini lebih cekap, lestari dan sejahtera.

 

Menurut beliau, unjuran pelan komprehensif tersebut dijangka memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

 

“Kita menyasarkan pertambahan sebanyak RM2 bilion hingga RM4.2 bilion menjelang 2030.

 

“Ia juga membuka 3,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan baharu dan membantu dalam pendigitalan 18,000 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan daya saing mereka di pasaran yang lebih luas,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Pelan Tindakan Digital Ekonomi Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di sini hari ini.

 

 

MB Perak

 

MB Perak

 


Tambah Saarani, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030 memberi tumpuan kepada empat teras utama.

 

Antaranya akses kepada infrastruktur digital berkualiti, pentadbiran awam cekap digital, ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan, dan masyarakat diperkasa pendigitalan. 

 

“Sebanyak 21 program telah dikenal pasti dengan lima projek pemangkin diberikan keutamaan.

 

“Antaranya termasuk peluasan capaian digital melalui inisiatif JENDELA, pembangunan Point of Presence (POP), penggunaan satelit orbit rendah (LEO) bagi kawasan luar bandar, pengukuhan sistem pembayaran tanpa tunai perusahaan kecil  serta penubuhan pusat kecemerlangan seperti Smart Perak Research and Innovation Centre (SPRIN) dan Ai Academy,” ujarnya.

 

Jelas Saarani lagi, Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 pula menggariskan 7 komponen utama, 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif secara berfasa hingga tahun 2040 dalam mencapai sasaran pembangunan bandar pintar di negeri ini. 

 

Katanya, pelaksanaan blueprint ini akan memacu pembangunan bandar yang lebih inklusif, responsif dan mampan dengan berteraskan pendekatan People-Centric Smart City iaitu pembangunan banda yang berpaksikan keperluan dan kesejahteraan rakyat. 

 

“Empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar telah dikenal pasti terlibat bagi pelaksanaan awal agenda bandar pintar di negeri ini. 

 

“Kerajaan negeri turut menyasarkan agar kesemua PBT mempunyai Pelan Tindakan Bandar Pintar masing-masing menjelang 2025,” ujarnya. - DagangNews.com