Perak Corp terima kelulusan Bursa Malaysia terhadap pelan regularisasinya, keluar daripada status PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak Corp terima kelulusan Bursa Malaysia terhadap pelan regularisasinya, keluar daripada status PN17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – Perak Corporation Berhad menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad terhadap pelan regularisasinya di bawah Nota Amalan 17 (PN17) sebagai langkah penting ke arah penstrukturan semula kedudukan kewangan kumpulan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Perak Corp berkata kelulusan tersebut diperoleh menerusi surat bertarikh 19 Januari 2026 dan merangkumi beberapa cadangan utama di bawah Pelan Regularisasi yang disarankan.

 

“Antara komponen utama pelan berkenaan ialah cadangan pengurangan modal saham, pembangunan bersama, pelupusan tanah di Hulu Bernam serta pelupusan Hinterland.

 

“Selain itu pelupusan Zon 1 Bandar Meru Raya yang melibatkan penyelesaian hak milik syarikat di bawah perjanjian usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Uni-Poh Construction Works Sdn Bhd bagi sebidang tanah kerajaan di Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak, dengan nilai tunai keseluruhan sebanyak RM40.38 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Selain itu, pelan regularisasi tersebut turut melibatkan cadangan penerbitan saham keutamaan boleh tebus B (RPS-B) serta dua cadangan pindaan kepada dokumen korporat syarikat.

 

Kelulusan yang diberikan oleh Bursa Securities adalah tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya Perak Corp dan penasihat utamanya, M&A Securities, perlu mematuhi sepenuhnya keperluan penyenaraian berkaitan pelaksanaan pelan regularisasi tersebut. 

 

Syarikat juga perlu memastikan semua kelulusan pihak berkuasa berkaitan diperoleh dan mengemukakan salinan surat kelulusan kepada Bursa Malaysia.

 

Selain itu, resolusi pemegang saham yang diluluskan dalam mesyuarat agung berhubung pelan tersebut perlu dikemukakan kepada Bursa Securities, di samping memaklumkan pihak berkuasa itu selepas pelan regularisasi selesai dilaksanakan berserta pengesahan pematuhan terhadap syarat kelulusan yang ditetapkan.

 

Perak Corp turut dikehendaki memasukkan ulasan yang dikemukakan oleh Bursa Securities dalam pekeliling kepada para pemegang saham.

 

Kelulusan ini membuka laluan kepada Perak Corp untuk meneruskan pelaksanaan pelan regularisasi yang dicadangkan, sekali gus berpotensi memperkukuhkan semula kedudukan kewangan dan operasi kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang.- DagangNews.com