Penurunan separuh peruntukan Skim Perubatan Madani `amat mengejutkan' - Galen Centre | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan separuh peruntukan Skim Perubatan Madani `amat mengejutkan' - Galen Centre

Skim Perubatan Madani diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar fail
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Okt - Galen Centre for Health and Social Policy menyambut baik langkah-langkah dalam Belanjawan 2026 untuk menyemak semula yuran perundingan pengamal perubatan am (GP) kepada maksimum RM80 serta menaikkan elaun tugas atas panggilan sebanyak 40% bagi menyokong doktor kerajaan.

 

Namun begitu, pusat advokasi kesihatan itu berpendapat kerajaan masih gagal menangani jurang kritikal dalam sistem kesihatan negara, menyifatkannya sebagai tindakan “menangguh masalah ke masa depan” dalam usaha memperkukuh pembiayaan sektor kesihatan.

 

Dalam satu kenyataan, Galen Centre mempersoalkan kemungkinan pengurangan separuh peruntukan bagi Skim Perubatan Madani yang bertujuan memperluas akses penjagaan kesihatan kepada golongan berpendapatan 40% terendah (B40) melalui subsidi rawatan di klinik swasta terpilih.

 

Penurunan peruntukan skim yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 kepada RM50 juta itu disifatkan sebagai “amat mengejutkan” oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib.


 

Azrul Mohd Khalib
                                                  Azrul Mohd Khalib

 


Beliau berkata skim tersebut “menggunakan model perkongsian awam-swasta yang terbukti berkesan seperti yang dilaksanakan di Selangor dan ProtectHealth Corp”, dan pernah dianggap Galen Centre sebagai “potensi pengubah landskap” sistem penjagaan kesihatan negara.

 

“Apa yang berlaku dan mengapa program yang berjaya ini mengalami pengurangan peruntukan?” soal Azrul.

 

Beliau turut mempersoalkan kenaikan kecil cukai eksais rokok sebanyak dua sen sebatang, yang menurutnya menyebabkan kerajaan melepaskan potensi hasil berjumlah ratusan juta ringgit, selain meneruskan subsidi gula yang menelan belanja sehingga RM600 juta setahun kepada pembayar cukai.

 

Malaysia kini membelanjakan dianggarkan RM16 bilion setahun untuk merawat penyakit berkaitan tabiat merokok seperti penyakit jantung dan kanser paru-paru.

 

“Bagi setiap RM1 yang dikutip daripada cukai tembakau, RM4 dibelanjakan untuk merawat penyakit berkaitan merokok,” jelas Azrul.

 

“Subsidi gula ini pula sebenarnya tidak lagi diperlukan oleh pengeluar sendiri yang telah meminta supaya harga gula diapungkan,” tambahnya.

 

Belanjawan Gagal Tumpu Kepada Penjagaan Warga Emas

Menurut Azrul, dana yang dijimatkan sepatutnya disalurkan kepada penjagaan warga emas — bidang yang masih terabai dalam Belanjawan 2026.

 

Penjagaan warga emas, katanya, “tidak seharusnya disamakan dengan kebajikan warga emas” seperti yang ditumpukan dalam belanjawan. “Malaysia kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang, termasuk rawatan dan fasiliti penjagaan khas, yang menelan kos empat kali ganda lebih tinggi,” jelasnya.

 

Ketika ini, 11% daripada penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas, dan angka ini dijangka meningkat kepada 15.3% atau sekitar 5.8 juta orang menjelang tahun 2030.

 

Walaupun sektor kesihatan merangkumi 9.9% daripada perbelanjaan kerajaan Persekutuan, kadar peningkatannya dari tahun ke tahun masih sama seperti pentadbiran terdahulu, manakala perbelanjaan pembangunan sektor itu kekal statik sekitar RM6.74 bilion, katanya.

 

“Ini tidak memberi gambaran baik bagi usaha memperkukuh pelaburan dan daya tahan sistem kesihatan, terutama ketika Malaysia berdepan pelbagai krisis kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) dan populasi yang semakin menua,” tambah beliau.

 

Perlu Skim Insurans Kesihatan dan Sosial Nasional

Melihat ke hadapan, Galen Centre sekali lagi menggesa kerajaan memperkenalkan skim insurans kesihatan dan sosial nasional.

 

Gabungan dana melalui skim tersebut berpotensi menjana tambahan RM6 bilion setahun bagi melengkapi peruntukan sedia ada, kata Azrul — sesuatu yang penting sekiranya Malaysia mahu membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang mampan, mampu milik dan menyeluruh, sambil menangani cabaran dwi — penyakit tidak berjangkit dan penuaan penduduk.

 

Beliau menegaskan, Belanjawan 2026 sekali lagi terlepas peluang untuk melaksanakan pembaharuan struktur jangka panjang.

 

“Bagi memastikan daya tahan, kemampanan dan kualiti sistem kesihatan untuk dekad-dekad akan datang, kerajaan perlu berani memperkenalkan model pembiayaan baharu.

 

“Malangnya, belanjawan tahun ini sekali lagi menangguh keputusan penting itu. Kita perlu melabur untuk memperkukuh masa depan penjagaan kesihatan negara — jangan harapkan orang lain yang melakukannya untuk kita,” tegas Azrul. - DagangNews.com