Penjualan Brewster Village oleh Majuperak kepada Ladang Lekir gagal diteruskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan Brewster Village oleh Majuperak kepada Ladang Lekir gagal diteruskan

Brewster Village di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Julai – Majuperak Holdings Bhd memaklumkan cadangan pelupusan dua bidang tanah dan sebuah bangunan di Ipoh yang dikenali sebagai Brewster Village telah dibatalkan selepas kegagalan memenuhi syarat-syarat terdahulu dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Tanah tersebut pada asalnya dicadangkan untuk dijual kepada Ladang Lekir Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, pada harga RM18.4 juta sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula perniagaan Majuperak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Majuperak berkata anak syarikat milik penuhnya, Syarikat Majuperak Bhd (SMB), telah menerima notis penamatan perjanjian daripada LLSB pada 25 Jun lalu.

 

SMB kemudian telah membuat rayuan kepada LLSB bagi memohon lanjutan masa sehingga satu tahun untuk memenuhi syarat-syarat terdahulu, namun permohonan tersebut telah ditolak oleh LLSB.

 

Majuperak, yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), menyatakan penamatan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan material kepada aset bersih, pendapatan bersih, keuntungan dan kadar keberhutangan kumpulan.

 

 

majuperak

 

 

Sejak April 2020, Majuperak diklasifikasikan sebagai penerbit yang terjejas selepas penyata kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY019) menunjukkan operasi atau perniagaan yang tidak signifikan.

 

Pada 14 Julai lalu, Majuperak mengumumkan kumpulan telah melantik Interpac sebagai penasihat utama baharu bagi membantu merangka pelan penyusunan semula. Pelan tersebut dijadualkan untuk dihantar kepada Bursa Malaysia selewat-lewatnya pada 11 Oktober 2025, susulan lanjutan masa yang diluluskan oleh pengendali bursa pada bulan Mei.

 

Kumpulan yang mencatat kerugian sejak tiga tahun lalu itu menunjukkan penurunan kerugian secara berperingkat – daripada kerugian bersih RM13 juta pada FY2022, kepada RM11.1 juta pada FY2023 dan seterusnya RM4.3 juta pada FY2024, menurut laporan tahunan syarikat.

 

Bagi suku pertama FY2025, kumpulan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.45 juta, berbanding kerugian bersih RM5.98 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, hasil daripada peningkatan pendapatan kepada RM12 juta daripada RM5.75 juta. Kumpulan mengaitkan peningkatan ini kepada pelupusan tanah di Hulu Bernam bernilai RM5 juta.

 

Sehingga akhir Mac tahun ini, Majuperak mencatat jumlah pinjaman sebanyak RM10.51 juta, termasuk RM4.9 juta pinjaman jangka pendek, manakala tunai dan setara tunai kumpulan berjumlah RM3.17 juta.

 

Saham Majuperak ditutup turun setengah sen atau 4.35% kepada 11 sen pada Selasa, dengan modal pasaran sebanyak RM31 juta. Saham syarikat telah merosot sebanyak 46% sejak akhir Disember tahun lalu. - DagangNews.com