Peningkatan kontena & tarif pelabuhan pacu pertumbuhan Westports, RHB Research naik taraf saranan kepada Beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kontena & tarif pelabuhan pacu pertumbuhan Westports, RHB Research naik taraf saranan kepada Beli

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – RHB Research menaik taraf saranan saham Westports Holdings Bhd  daripada Neutral kepada Beli, dengan sasaran harga baharu RM6.89 sesaham, memberikan potensi kenaikan 13.9% berbanding harga pasaran RM6.05.

 

Firma penyelidikan itu berkata peningkatan tersebut disokong oleh prospek pertumbuhan kendalian kontena yang kukuh dan kenaikan tarif pelabuhan secara berperingkat.

 

“Westports dijangka mencatat jumlah penghantaran (throughput) tertinggi bagi tahun kewangan 2025, iaitu 11.3 juta TEUs untuk kontena dan 12.8 juta tan metrik untuk kargo biasa. Pencapaian ini dijangka membantu meningkatkan keuntungan bersih syarikat.

 

“Kenaikan tarif pelabuhan secara berperingkat juga dijangka menambah margin keuntungan. Fasa pertama sebanyak 15% mula berkuatkuasa pada Julai 2025, diikuti 10% pada Januari 2026 dan 5% pada Januari 2027,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

RHB Research menjangkakan keuntungan bersih teras (core PATAMI) bagi suku keempat FY25 antara RM250 juta hingga RM280 juta, dengan sasaran keseluruhan tahun kewangan antara RM950 juta hingga RM1 bilion.

 

Firma itu juga menaikkan anggaran pertumbuhan volum kontena daripada 3% kepada 4.5% bagi FY26-FY27, sejajar dengan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.7% pada tahun 2026.

 

Pertumbuhan Westports dijangka terus selari dengan ekonomi Malaysia, berdasarkan prestasi syarikat dari 2010 hingga 2024. 

 

Ketika ini, Westports hampir mencapai kapasiti optimum 90%, iaitu 12.6 juta TEUs. 

 

Pengembangan terminal kontena baharu CT10 pada suku kedua 2028 dan CT11 pada suku keempat 2029 dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan seterusnya.

 

Pengukuhan ringgit Malaysia sebanyak 2.1% berbanding dolar AS setakat 23 Januari 2026 memberikan perlindungan kepada margin Westports kerana kos bahan api, denominasi USD, merupakan perbelanjaan operasi ketiga terbesar. 

 

Setiap pengukuhan 1 mata peratus ringgit dijangka mengurangkan kos bahan api kira-kira 3%.

 

RHB Research berkata dari segi kewangan, Westports dijangka mencatat keuntungan bersih berulang sebanyak RM978 juta bagi FY25 dan meningkat kepada RM1.288 bilion pada FY27.

 

“Nisbah P/E diunjurkan 21.1 kali bagi FY25 dan 16.0 kali bagi FY27. Dividen yield dijangka meningkat daripada 3.6% pada FY25 kepada 4.7% pada FY27, menjadikan saham ini menarik bagi pelabur yang mencari pendapatan dividen stabil,” kata RHB Research.

 

Beberapa risiko utama yang perlu diberi penekanan termasuk kos operasi lebih tinggi daripada jangkaan dan volum kontena lebih rendah daripada sasaran, yang boleh menjejaskan margin dan sasaran harga. - DagangNews.com