Pengurusan sisa kapal kini lebih ketat, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang perkenal SOP baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengurusan sisa kapal kini lebih ketat, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang perkenal SOP baharu

Pelabuhan Pulau Pinang
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) memperketatkan tatacara pengurusan sisa kapal di Pelabuhan Pulau Pinang menerusi pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang bertujuan meningkatkan perlindungan alam sekitar dan memperkukuh amalan operasi pelabuhan yang lebih mampan.

 

Langkah itu dilihat mampu mewujudkan sistem pengurusan sisa yang lebih tersusun apabila setiap proses, daripada pengumpulan hinggalah pelupusan, perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan serta kehendak undang-undang.

 

Pengerusi PPC, Datuk Yeoh Soon Hin berkata SOP tersebut diperkenalkan bagi memastikan semua pengendalian sisa yang dihasilkan kapal di setiap terminal pelabuhan dilaksanakan mengikut piawaian yang seragam, selamat dan lebih cekap.

 

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan pekeliling pelabuhan bagi menjelaskan tatacara pelaksanaan SOP berkenaan supaya semua pengendali memahami tanggungjawab masing-masing serta mematuhi keperluan yang ditetapkan.

 

"Melalui SOP ini, setiap proses pengurusan sisa kapal dapat dijalankan secara lebih teratur, sekali gus memastikan pematuhan kepada undang-undang berkaitan dan kelancaran operasi di Pelabuhan Pulau PinaNG.

 

“Mana-mana syarikat yang berhasrat menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa kapal perlu terlebih dahulu mendapatkan lesen daripada PPC sebelum dibenarkan beroperasi di kawasan pelabuhan.

 

“Selain itu, syarikat terbabit juga diwajibkan memperoleh kelulusan daripada beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan mengikut keperluan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Yeoh berkata, hanya pengendali yang memenuhi syarat tersebut dibenarkan menjalankan operasi dan mereka bertanggungjawab memastikan semua aktiviti pengendalian sisa dilaksanakan secara selamat serta mematuhi syarat pelesenan.

 

Beliau menjelaskan, SOP berkenaan merangkumi tiga kategori utama sisa yang dihasilkan kapal iaitu sisa berjadual, sisa domestik termasuk bahan pembungkusan kayu dan sisa kumbahan.

 

Bagi memastikan rekod pelupusan lebih telus, setiap pengendali perlu mengesahkan jumlah sisa yang diterima bersama pihak kapal sebelum operasi dijalankan dan mengemukakan dokumen berkaitan kepada PPC serta agensi berkaitan selepas proses pelupusan selesai.

 

Menurut beliau, inisiatif tersebut menyokong aspirasi Pelabuhan Hijau yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan untuk memperkukuh kawalan terhadap pencemaran marin di samping menggalakkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

 

Katanya, pelaksanaan sistem pelesenan, pelaporan wajib serta penggunaan fasiliti pelupusan yang diluluskan akan meningkatkan keupayaan PPC memantau pergerakan sisa kapal dan mengurangkan risiko pencemaran terhadap perairan.

 

Tambah beliau, PPC akan terus memperhebat pemantauan melalui pemeriksaan berkala dan audit pematuhan bagi memastikan semua pengendali mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

Dalam masa sama, suruhanjaya itu akan menggalakkan penggunaan teknologi moden dan amalan terbaik industri bagi mengurangkan penghasilan sisa serta meningkatkan aktiviti kitar semula, sekali gus menyokong agenda menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan yang lebih hijau dan lestari.- DagangNews.com