Pengumuman tarif eksport 19% gagal redakan ketidaktentuan pengeksport, pelabur - IDEAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengumuman tarif eksport 19% gagal redakan ketidaktentuan pengeksport, pelabur - IDEAS

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pengumuman kadar tarif eksport ke Amerika Syarikat pada19 peratus masih belum berjaya meredakan ketidaktentuan yang dihadapi pengeksport Malaysia dan pelabur antarabangsa, kata sebuah badan pemikir.

 

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam satu kenyataan memberi amaran kemas kini tarif terbaharu itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

 

Kata badan pemikir itu, mekanisme semakan setiap enam bulan yang diperkenalkan akan mewujudkan “keadaan ketidakstabilan berterusan” bagi para pedagang dan pelabur, sekali gus membahayakan keputusan pelaburan jangka panjang.

 

“Dengan pelaksanaan dijadualkan bermula dalam tempoh tujuh hari sahaja… pengumuman ini tidak banyak membantu meredakan ketidaktentuan yang semakin meruncing dihadapi pengeksport Malaysia dan pelabur antarabangsa,” kata IDEAS.

 

Menjelang tarikh akhir pada Jumaat, 1 Ogos, AS telah mengumumkan satu set tarif menyeluruh ke atas rakan dagang utamanya. Negara jiran Malaysia di Asia Tenggara turut berdepan kadar berbeza, dengan Thailand, Kemboja dan Filipina turut dikenakan kadar 19%, manakala Vietnam dikenakan duti sebanyak 20%.

 

Bagaimanapun, penghantaran semula (*trans-shipment*), termasuk dari Malaysia, kini tertakluk kepada tarif tambahan bersifat punitif sebanyak 40% di bawah perintah eksekutif yang diumumkan semalaman oleh Presiden AS, Donald Trump.

 

Istilah “penghantaran semula” tersebut bagaimanapun tidak ditakrifkan secara jelas, yang dijangka menimbulkan ketidakpastian dari segi perundangan dan komersial, khususnya bagi syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan antarabangsa di mana barangan mungkin melalui pelbagai negara, ujar IDEAS.

 

Badan pemikir itu turut menyuarakan kebimbangan berhubung kerumitan dalam perlakuan tarif terhadap barangan yang sedang dalam transit atau disimpan, yang boleh menambah gangguan pasaran serta menimbulkan keraguan terhadap kebolehjangkaan penguatkuasaan perdagangan AS.

 

“Ketiadaan definisi yang jelas, mekanisme penguatkuasaan yang berwibawa, serta sebarang penilaian terhadap kesan rentas sektor menjadikan hasil dasar ini sangat tidak menentu.

 

“Perdagangan kekal terganggu, dan persekitaran pelaburan kini menjurus kepada kesuraman,” kata IDEAS.  DagangNews.com