Pengesahan identiti eKYC akan diwajibkan untuk halang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengesahan identiti eKYC akan diwajibkan untuk halang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial - Fahmi

KUALA LUMPUR 15 Okt – Malaysia akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti melalui sistem ‘electronic know-your-customer’ (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform-platform tersebut dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.

 

“Semasa saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya nyatakan dengan jelas bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti, khususnya bagi menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada memiliki akaun,” katanya.

 

Fahmi berkata beliau akan membentangkan garis masa pelaksanaan cadangan itu kepada Jemaah Menteri sebelum mengumumkannya secara rasmi.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) on Wheels di kawasan Dewan Undangan Negeri Sindumin, Sipitang hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Timbalan Pengarah Urusan (Regulasi dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, serta Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

 

fahmi cap
Fahmi Fadzil merasmikan program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) on Wheels di kawasan Dewan Undangan Negeri Sindumin, Sipitang.

 

Selain perlindungan kanak-kanak, Fahmi menegaskan pelaksanaan eKYC juga penting dalam usaha mengekang penipuan dalam talian, serta kandungan berbahaya seperti judi haram dan iklan palsu.

 

“Banyak platform telah disalah guna oleh penjenayah untuk kegiatan penipuan. Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, 78% daripada kandungan berkaitan penipuan yang diturunkan berasal dari Facebook,” katanya.

 

Fahmi turut memberitahu MCMC akan mengadakan pertemuan dengan syarikat media sosial minggu depan untuk membincangkan langkah segera ke arah pelaksanaan keperluan tersebut.

 

Sementara itu, inisiatif Nadi on Wheels yang dilaksanakan bersama oleh Kementerian Komunikasi dan MCMC bertujuan memperluaskan akses digital dan membawa teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.

 

Kini terdapat 1,099 Pusat Nadi di seluruh negara, termasuk 131 di Sabah.

 

Program di Sipitang turut menampilkan kesambungan Starlink dengan kelajuan sehingga 250 Mbps dan beberapa peranti tablet untuk tujuan latihan digital dan keusahawanan.

 

Fahmi turut menekankan kepentingan projek sambungan kabel dasar laut bernilai RM2 bilion di bawah inisiatif Madani, dikenali sebagai Salam (Submarine Cable Connectivity), yang akan menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

 

“Untuk projek Salam, kita juga akan bina rangkaian kabel dasar laut pesisir di Sabah, dengan kabel akan dipasang dari Tanjung Aru sehingga ke Tawau di sepanjang pantai. Kami jangka projek ini siap dalam dua hingga tiga tahun,” jelasnya.

 

Fahmi berkata projek Salam menjadi keutamaan kementerian dalam usaha memastikan rangkaian komunikasi yang stabil di Sabah, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada. -BERNAMA