Pengerusi baharu 7-Eleven Malaysia, Mohd Annuar bukan orang asing dalam konglomerat Kumpulan Berjaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerusi baharu 7-Eleven Malaysia, Mohd Annuar bukan orang asing dalam konglomerat Kumpulan Berjaya

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Jun - Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang menggantikan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif baharu 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, bukan seorang yang asing dalam konglomerat Kumpulan Berjaya.

 

Beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Berjaya Corporation Bhd dari 2001 hingga 2004.

 

Mohd Annuar menggantikan Datuk Farhash Wafa Salvador, yang berundur sebagai pengerusi 7-Eleven Malaysia pada 30 Mei untuk mengejar kepentingan lain.

 

Menurut makluman 7-Eleven Malaysia di Bursa Malaysia, Mohd Annuar, 73, memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dan sarjana dalam undang-undang dan diplomasi.

 

Beliau memulakan kerjaya perkhidmatan awam pada 1977, berkhidmat di pelbagai kementerian, jabatan persekutuan, dan kerajaan negeri Perak, sebelum memilih untuk bersara awal pada 1999.

 

Sejak itu, beliau telah menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam, firma swasta dan agensi berkaitan kerajaan. Ini termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai pengerusi dari Februari 2004 hingga Januari 2010, dan PLUS Expressways Bhd sebagai ahli lembaga dari 2007 hingga 2012.


 

uda

 


Beliau kini juga berkhidmat sebagai pengerusi UDA Holdings Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang ditugaskan dengan pembangunan infrastruktur bandar.

 

Selain itu, Mohd Annuar ialah ahli lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pengerusi Country Annex Sdn Bhd dan MRCB Land Sdn Bhd, dan penasihat kanan hal ehwal antarabangsa di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). - DagangNews.com