Penganalisis ramal Belanjawan 2026 dijangka melebihi RM430b, fokus kekal kepada pembaharuan fiskal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis ramal Belanjawan 2026 dijangka melebihi RM430b, fokus kekal kepada pembaharuan fiskal

KUALA LUMPUR 8 Okt – Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini dijangka melebihi RM430 bilion, melepasi peruntukan RM421 bilion dalam Belanjawan 2025.

 

Penganaisis ekonomi berpendapat langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus melaksanakan pembaharuan fiskal bagi mengecilkan jurang defisit negara, tanpa menjejaskan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi.

 

Belanjawan 2026 juga menandakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) — pelan pembangunan ekonomi lima tahun negara yang baharu.

 

Ahli ekonomi membuat unjuran, daripada jumlah keseluruhan, Perbelanjaan Mengurus (OE) dijangka mencecah sekitar RM344.9 bilion. 

 

Angka ini lebih tinggi berbanding RM335 bilion dalam Belanjawan 2025, dengan peningkatan didorong oleh kenaikan gaji penjawat awam dan bayaran pencen.

 

Sebaliknya, Perbelanjaan Pembangunan (DE) dijangka kekal pada paras RM86 bilion untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.

 

Antara pendorong utama peningkatan OE ialah pelaksanaan Fasa Kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang menyaksikan kenaikan gaji antara 3% hingga 7% bermula Januari 2026. Fasa pertama telah pun bermula Disember 2024.

 

Walaupun langkah ini disambut baik dari segi sokongan kepada kuasa beli rakyat, ia juga menambah tekanan terhadap belanjawan semasa kerajaan.

 

Tiada kenaikan dalam DE menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis bahawa pertumbuhan jangka panjang mungkin tidak menerima suntikan fiskal yang mencukupi.

 

Firma penyelidikan CGS International dalam laporannya menjangkakan Belanjawan 2026 akan terus menyokong pembaharuan fiskal, walaupun tidak banyak kejutan dijangka diumumkan kali ini.

 

Konsensus ahli ekonomi menjangkakan defisit fiskal akan mengecil kepada antara 3.4% hingga 3.8% daripada KDNK, menghampiri sasaran RMK13 iaitu di bawah 3% menjelang 2030, menurut laporan The Edge.

 

Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi sebenar Malaysia dijangka kekal stabil sekitar 4% pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pemulihan sektor pelancongan, dan pelaksanaan projek infrastruktur sedia ada.

 

Kenanga Research dalam laporannya berkata unjuran ini mencerminkan pandangan berhati-hati kerajaan terhadap ketidaktentuan global, walaupun asas ekonomi domestik kekal berdaya tahan.

 

Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada separuh pertama 2025 (1H2025).

 

Cukai Baharu

Belanjawan 2026 dijangka tidak memperkenalkan sebarang pembaharuan cukai besar, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil sedia ada melalui peningkatan kecekapan pentadbiran dan pelaksanaan digitalisasi.

 

Antara inisiatif utama ialah perluasan Skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, serta pelaksanaan e-invois secara menyeluruh di seluruh negara.

 

Walaupun pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dianggap tidak mungkin dalam masa terdekat, kerajaan dijangka menumpukan kepada penambahbaikan terhadap instrumen sedia ada, termasuk pelaksanaan cukai minimum global, pelarasan cukai dividen dan pengenalan cukai karbon yang telah lama dinanti.

 

Menurut BIMB Securities Research, cukai karbon dijangka diperkenalkan secara berfasa bermula 2026, walaupun garis masa pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.

 

Rasionalisasi Subsidi

Ahli ekonomi turut menjangkakan bahawa penjimatan hasil daripada rasionalisasi subsidi bahan api, dianggarkan sekitar RM4 bilion hingga RM6 bilion, akan disalurkan semula kepada bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

Menurut unjuran CIMB Treasury and Markets Research, peruntukan untuk STR dan SARA dalam Belanjawan 2026 dijangka mencecah RM17 bilion hingga RM18 bilion, tahap tertinggi sejak pandemik.

 

Namun, firma itu turut memberi amaran bahawa ketidaktepatan dalam penyasaran penerima, sama ada melalui kesilapan inklusi atau eksklusi, boleh menjejaskan keberkesanan penjimatan fiskal sebenar.

 

Belanjawan 2026 dijangka menjadi lanjutan kepada fasa-fasa rasionalisasi subsidi sejak 2023, termasuk pelarasan tarif elektrik, pengurangan subsidi ayam dan penstrukturan kadar air.

 

Bagaimanapun, CGS International dalam notanya menegaskan beberapa isu ketirisan masih belum ditangani sepenuhnya, seperti ketidakcekapan agihan diesel di Sabah dan Sarawak, ketirisan dalam skim minyak masak bersubsidi dan subsidi bahan api untuk sektor perikanan

 

CGS turut mencadangkan agar subsidi gula kepada pengilang disemak semula, sejajar dengan dasar kerajaan ke arah pemakanan sihat. - DagangNews.com