Penganalisis kekal optimis potensi CTOS Digital bagi FY26 susulan prestasi positif pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis kekal optimis potensi CTOS Digital bagi FY26 susulan prestasi positif pada FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Jan — Prestasi positif CTOS Digital Berhad bagi tahun kewangan 2025 mendorong dua firma penyelidikan utama tempatan, mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan itu.


Meskipun kedua-dua analisis firma berkenaan dengan pendekatan penilaian dan sasaran harga (TP) yang berbeza, mereka menyarankan pelabur untuk 'beli' saham syarikat pengurusan data kredit itu.


Maybank Investment Bank turut menaik taraf kumpulan tersebut daripada 'pegang' kepada 'beli' dengan menaikkan TP kepada RM1.03, susulan keputusan FY25 mengatasi jangkaan firma itu sendiri.


"Tidak termasuk item luar biasa (EI) berjumlah RM16 juta hasil pelupusan Experian Information Services (EIS), CTOS Digital masih mencatatkan keuntungan bersih teras RM89 juta," jelasnya lagi.


Angka tersebut bersamaan 106% daripada unjuran Maybank IB sendiri, dengan hasil meningkat 7% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh penambahbaikan perniagaan yang merentas semua segmen pelanggan.


Walaupun margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal lemah pada 26% akibat kos operasi tinggi, ia melihat situasi itu tanda awal susulan pengoptimuman kos.


Firma penyelidikan berkenaan turut mengambil kira pengisytiharan dividen interim keempat sebanyak 0.86 sen, yang dinilai mewakili nisbah pembayaran dividen kira-kira 70% bagi tahun kewangan 2025.


"Sumbangan kukuh syarikat bersekutu, khususnya JurisTech, serta pelupusan penuh 26% ekuiti dalam EIS, memberi fleksibiliti modal untuk CTOS Digital menumpukan kepada perniagaan teras," jelasnya.

 

Artikel berkaitan: CTOS Digital kaut untung bersih RM44.6 juta bagi 4QFY25 didorong penjualan 26% ekuiti dalam Experian


Bersandarkan perkembangan yang positif tersebut, Maybank IB menaikkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 2% dan 4%, serta dianggap sebagai wajar.


Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi kepada RM1.11, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 27% serta hasil dividen diunjur kira-kira 4% pada tahun ini.


Menurutnya, prestasi FY25 adalah selari jangkaan, dengan keuntungan bersih yang kukuh, meskipun kumpulan mencatat penurunan tahun ke tahun (YoY) berikutan tekanan kos dan penyusutan margin.


"Bagaimanapun, kami menjangka pertumbuhan hasil akan kembali pada FY26, dipacu pelancaran produk baharu, penambahbaikan rumusan, pemerolehan pelanggan berterusan dan pengoptimuman kos," katanya.


RHB Research turut menyorot momentum hasil yang baik pada suku keempat FY25, termasuk pertumbuhan kukuh perniagaan antarabangsa, segmen pengguna langsung (D2C) dan proses pemulihan akaun utama.


Prospek FY26 pula dilihat positif dengan pengenalan rumusan baharu pengesanan penipuan, pengesahan pendapatan dan kredit, selain manfaat automasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan tersebut berpandangan yang CTOS Digital berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memulihkan semula momentum pendapatannya sepanjang FY26.


Sehubungan itu, mereka mereka menyifatkan penilaian saham semasa adalah menarik di tengah-tengah strategi pertumbuhan berbilang teras yang sedang dilaksanakan syarikat. - DagangNews.com