Pendapatan Hektar REIT naik 3.4% kepada RM32 juta pada 2QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Hektar REIT naik 3.4% kepada RM32 juta pada 2QFY2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mencatatkan pendapatan sebanyak RM32 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), meningkat 3.4 peratus berbanding suku sebelumnya, didorong hasil sewaan lebih kukuh serta kawalan kos yang berkesan.

 

Pendapatan harta bersih (NPI) naik 5.6 peratus suku ke suku kepada RM15.9 juta, manakala margin NPI bertambah baik kepada 49.6 peratus berbanding 48.5 peratus pada 1QFY2025.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, Hektar REIT merekodkan RM62.9 juta hasil dan RM30.9 juta NPI.

 

Kedua-duanya lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, susulan ketiadaan pendapatan luar biasa RM4 juta daripada sewaan pendidikan tertunggak yang diiktiraf pada 2024. Namun, pengurus dana menegaskan prestasi asas kekal stabil.

 

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan agihan pendapatan interim sebanyak 1.05 sen seunit, bersamaan RM7.45 juta bagi suku kedua.

 

Aset runcit terus menjadi penyumbang utama dengan RM58.8 juta atau 93.4 peratus daripada hasil tahun setakat ini, selain RM26.7 juta atau 86.6 peratus daripada NPI. Segmen pendidikan pula menyumbang RM4.1 juta hasil, mewakili 13.4 peratus daripada NPI, menandakan peranannya yang semakin strategik dalam portfolio.

 

Hektar, yang sebelum ini berfokus kepada aset runcit, kini melaksanakan strategi kepelbagaian secara berperingkat ke dalam sektor pendidikan, perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Langkah ini termasuk Kolej Yayasan Saad (KYS) di Melaka di bawah pajakan bersih berganda, pengambilalihan hartanah industri dengan pajakan induk 15 tahun di Pulau Pinang, serta pajakan tanah strategik berasaskan model pajakan bersih.


 

Zainal Iskandar 
                                 Zainal Iskandar 

 


Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, pendekatan proaktif dalam strategi penyewaan, di samping kepelbagaian ke dalam sektor pendidikan, aset perindustrian dan pajakan tanah strategik menyediakan asas kukuh untuk pulangan mapan dan pertumbuhan jangka panjang.

 

"Kami kekal fokus mengoptimumkan portfolio runcit teras sambil meningkatkan penciptaan nilai menerusi pengurusan modal berdisiplin dan inisiatif berasaskan ESG,” katanya.

 

Dalam masa sama, kerja-kerja penambahbaikan aset di Subang Parade sedang berjalan dengan fasa pertama dijangka siap pada separuh pertama 2026. Pemasangan panel solar di seluruh portfolio pula dijangka siap pada 4Q2025, dengan penjimatan tahunan sekitar RM2 juta mulai 2026.

 

Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset Hektar REIT berjumlah RM1.45 bilion dengan nilai aset bersih seunit RM1.0462. - DagangNews.com