KUALA LUMPUR 5 Sept - Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, mencatatkan peningkatan 39% tahun ke tahun dalam pendapatan bersih selepas cukai (NIAT) bagi separuh pertama 2025, didorong oleh pengukuhan ringgit, harga bahan api yang lebih baik dan kecekapan operasi hasil daripada penggunaan pesawat baharu.
“Keupayaan, diukur melalui kilometer tempat duduk tersedia (ASK), meningkat 7% tahun ke tahun, disokong oleh pengembangan armada dan rangkaian. Hasil ini adalah penanda positif bahawa pelaburan kami dalam produk, tenaga kerja, dan proses telah memberikan hasil nyata, meletakkan kami di landasan untuk pertumbuhan berterusan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail dalam sesi taklimat media bagi mengumumkan peluasan rangkaian kumpulan penerbangan itu di sini pada Jumaat.
MAG mencatatkan keuntungan bersih RM54 juta bagi tahun kewangan 2024, susut mendadak berbanding RM766.19 juta tahun sebelumnya.
Penurunan ini sebahagian besarnya berpunca daripada pengurangan kapasiti sebanyak 18% pada suku keempat 2024, yang menjejaskan 6,388 penerbangan — termasuk 4,784 domestik dan 1,604 antarabangsa — serta hampir sejuta penumpang.
Namun, kumpulan penerbangan itu berjaya mengelakkan kerugian berikutan pembalikan rosot nilai aset bernilai RM426 juta yang pada asalnya diiktiraf semasa pandemik Covid-19 pada 2020.

“Sepanjang tahun lalu, MAG memberi tumpuan kepada usaha membina daya tahan dan memperkukuh operasi. Pada September lalu, kami membuat keputusan sukar tetapi perlu untuk mengurangkan kapasiti bagi melindungi kebolehpercayaan dan memastikan setiap janji kepada pelanggan dapat ditunaikan dengan konsisten,” ujar Izham.
Beliau menambah, kumpulan telah mencapai “kemajuan bermakna”, sambil memetik peningkatan dalam prestasi operasi.
Prestasi ketepatan masa MAG meningkat daripada 71.9% pada awal 2025 kepada 87.3% pada Julai, manakala indeks kepuasan pelanggan bertambah daripada 80% pada 2024 kepada 83% setakat tahun ini.
‘Belum Umum Kemenangan’
Walaupun mencatatkan peningkatan, Izham mengingatkan agar tidak terlalu selesa.
“Biar saya jelaskan: kami belum mengumumkan kemenangan. Seperti industri lain, kami terus berdepan cabaran berterusan. Kekangan rantaian bekalan global, peningkatan kos operasi dan perubahan dinamik pasaran boleh menjejaskan hala tuju kami pada bila-bila masa seperti yang telah kita lihat sebelum ini.
"Oleh itu, fokus kami kekal pada usaha membina asas yang kukuh merentasi syarikat penerbangan dan perniagaan kami bagi memastikan daya tahan dan konsistensi jangka panjang.”
Izham turut menekankan langkah penyusunan semula operasi jet anak syarikat kos rendah kumpulan, FlyFirefly Sdn Bhd, daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) di Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai strategi meningkatkan kesalinghubungan serantau dan sinergi kumpulan.
“Pengoperasian jet dari KLIA membolehkan Firefly menangkap pasaran serantau permintaan tinggi sambil memanfaatkan aliran penumpang antarabangsa yang lebih luas di hab utama kami serta melengkapi rangkaian global Malaysia Airlines. Pada masa sama, Subang kekal sebagai hab khusus untuk perkhidmatan turboprop Firefly, yang menghubungkan komuniti di seluruh Semenanjung Malaysia.
Strategi dwi-hab ini, katanya, meningkatkan kecekapan rangkaian kumpulan dan mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan utama rantau ini.
FlyFirefly menghentikan semua operasi jet di Lapangan Terbang Subang pada 19 Ogos, menjadi syarikat penerbangan kedua selepas AirAsia berbuat demikian.
Pembaharuan Armada
Bagi menyokong trajektori pertumbuhan, MAG meneruskan strategi pembaharuan armada. Kumpulan telah menerima enam pesawat Airbus A330neo dan 14 pesawat Boeing 737-8, yang menjadi kunci usaha meningkatkan kecekapan bahan api, mengurangkan kesan alam sekitar dan memberikan pengalaman penumpang yang lebih konsisten.

“Menjelang 2035, aspirasi kami adalah untuk Malaysia Airlines mengoperasikan armada utama moden sebanyak 116 pesawat, dengan purata usia hanya tujuh tahun (berbanding 10 tahun pada masa ini).
"Armada baharu ini, bersama perkhidmatan Firefly yang sedang berkembang, akan menyokong rangkaian kumpulan yang meliputi 106 destinasi di Asia, Timur Tengah, Eropah dan seterusnya,” kata Izham.
Beliau menambah, skala ini akan meletakkan Malaysia Airlines sebagai salah satu syarikat penerbangan premium terkemuka di rantau ini, dengan fleksibiliti untuk mengendalikan laluan serantau permintaan tinggi dan koridor jarak jauh utama.
“Dengan gabungan seimbang pesawat badan sempit dan badan lebar, Malaysia Airlines akan memiliki fleksibiliti untuk menangkap pertumbuhan di kedua-dua pasaran serantau dan jarak jauh, memastikan kami kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran yang berubah.
"Kesemua pelaburan ini adalah asas kepada aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia Airlines dalam kalangan 10 syarikat penerbangan global terbaik menjelang 2030,” tambahnya.
Fokus pada Masa Depan
“Walaupun tekanan dan ketidakpastian masih wujud dalam industri penerbangan, asas yang telah kami bina, rangkaian yang kami perluaskan dan produk yang kami pertingkatkan memastikan MAG kekal berdaya tahan, relevan dan bersedia untuk memberikan nilai jangka panjang — kepada pelanggan kami, warga kerja kami dan negara,” beliau merumuskan. - DagangNews.com








