Pencapaian pelaburan hampir RM90 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, keupayaan guna tenaga Malaysia - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pencapaian pelaburan hampir RM90 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, keupayaan guna tenaga Malaysia - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau pameran sempena sambutan Hari TVET Negara di Melaka pada 12 Jun 2025.

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pencapaian Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025 iaitu peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan keupayaan guna tenaga di negara ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang gawat, dalam keadaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengusulkan tarif menyekat kemasukan barang daripada kebanyakan negara, dan ekonomi negara dilihat menguncup.

 

”Tetapi Malaysia menyaksikan pada suku pertama 2025, pelaburan yang diluluskan RM89.8 bilion maknanya peningkatan. Dalam keadaan orang tengah tarik brek pasal pelaburan,” ujar beliau.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan iaitu RM30.5 bilion melibatkan sektor pembuatan.

 

“RM30.5 bilion merupakan sektor pembuatan melibatkan 207 projek dan dijangka akan mewujudkan 18,317 peluang pekerjaan.

 

"Apa kaitannya dengan TVET? Kategori pengurusan, penyeliaan dan teknikal tertinggi iaitu peningkatan 44.2 kepada 44.3 peratus,” kata Anwar semasa berucap pada Hari TVET Negara di sini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat pelaburan diluluskan RM89.8 bilion pada 1Q, bakal wujudkan lebih 33,300 peluang pekerjaan

 

Terdahulu dalam satu kenyataan pada Rabu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan ini merangkumi 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang dijangka menjana lebih 33,300 pekerjaan baharu untuk rakyat negara ini.

 

“Jumlah pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap dasar yang jelas serta asas jangka panjang negara, bertentangan dengan aliran pelaburan global yang lebih berhati-hati akibat ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi serta persaingan global yang semakin sengit untuk mendapatkan pelaburan baharu.

 

“Pelaburan asing mendominasi landskap pelaburan, dengan sumbangan RM60.4 bilion atau 67.3 peratus daripada jumlah pelaburan, manakala pelaburan tempatan kira-kira RM29.4 bilion atau 32.7 peratus,” katanya.

 

Selain peluang pekerjaan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata peningkatan indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) kepada 46.3 peratus daripada 44.2 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas mencerminkan kejayaan negara ini dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih baik. - DagangNews.com