Penasihat bebas saran pemegang saham NuEnergy terima tawaran Agrobulk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penasihat bebas saran pemegang saham NuEnergy terima tawaran Agrobulk

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Sept - Pemegang saham minoriti NuEnergy Holdings Bhd disarankan menerima tawaran pengambilalihan daripada pemegang saham terbesar tunggalnya, Agrobulk Holdings Sdn Bhd, menurut penasihat bebas Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd.

 

Sierac berkata tawaran 60 sen sesaham bagi saham NuEnergy adalah “tidak adil” kerana ia 47% lebih rendah daripada nilai saksama dianggarkan RM1.13.

 

Namun, ia dianggap “munasabah” kerana 20% lebih tinggi berbanding harga dagangan terakhir pada 15 Ogos, serta 4% hingga 5% lebih tinggi daripada purata harga terkini.

 

Penasihat itu turut menekankan, saham NuEnergy tidak pernah diniagakan melebihi harga tawaran dalam tempoh 12 bulan lalu.

 

Justeru, cadangan itu dilihat memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan pada harga premium tanpa menjejaskan pasaran, memandangkan kecairan saham tersebut adalah terhad.

 

“Sehubungan itu, kami mengesyorkan para pemegang saham menerima tawaran tersebut,” kata Sierac.

 

Agrobulk melancarkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada 18 Ogos untuk memperoleh 130.59 juta saham, atau 69.13% kepentingan dalam firma tenaga solar itu — dahulunya dikenali sebagai ILB Group Bhd — pada harga 60 sen sesaham.

 

Ketika ini, Agrobulk memiliki 58.31 juta saham atau 30.87% kepentingan. Berdasarkan harga tawaran, pengambilalihan itu menilai baki kepentingan pada RM78.35 juta.

 

Agrobulk dimiliki 61.42% oleh Tang & Co Sdn Bhd, yang majoritinya dikuasai Lee May Lin. Pemegang saham utama lain dalam Agrobulk termasuk KTC Brothers Holdings Sdn Bhd (11.05%), Loo Joo Aun (7.31%) dan Tan Chai Swan (6.04%).

 

Agrobulk berhasrat mengekalkan penyenaraian NuEnergy di Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com