KUALA LUMPUR 31 Okt - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang didakwa memperlekeh wartawan Utusan Malaysia ketika sidang media pelancaran projek pencahayaan bandar “I Lite U” baru-baru ini.
Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, respons dan sindiran menteri tersebut terhadap soalan wartawan berkenaan, bukan sahaja tidak wajar, malah boleh ditafsir sebagai tekanan terhadap kebebasan media dan penghinaan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sehubungan itu beliau turut menuntut penjelasan mengenai dasar penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan.
“Soalan yang dikemukakan wartawan tersebut adalah relevan, beretika dan selaras dengan tanggungjawab profesional media untuk mendapatkan penjelasan berhubung dasar penggunaan bahasa dalam program kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas insiden Kor Ming yang didakwa memperlekehkan seorang wartawan yang bertanya mengapa tema projek yang dilancar oleh menteri tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Dalam video yang tular, Kor Ming turut dilaporkan mengugut untuk melaporkan tindakan wartawan tersebut kepada pengurusan akhbar berkenaan.
Dr. Saleeh berkata, reaksi yang bersifat menghina atau memperkecilkan peranan wartawan bukanlah contoh kepimpinan yang baik, khususnya daripada seorang anggota pentadbiran.
“PENA menggesa YB Menteri agar menarik balik kenyataan yang menghina wartawan dan bahasa kebangsaan. Menteri juga mesti memberi penjelasan rasmi berhubung dasar penggunaan bahasa dalam projek kementerian,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Saleeh berkata, PENA menyaran semua pemimpin, penjawat awam dan penggiat media agar terus menghormati bahasa kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa dan asas perpaduan negara.
Katanya, mengutamakan bahasa Melayu dalam penjenamaan, promosi serta komunikasi rasmi kerajaan adalah selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.
“Penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan rasmi kerajaan dan projek awam bukan sekadar pilihan, tetapi suatu tuntutan Perlembagaan.
"Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang wajib digunakan dalam urusan rasmi kerajaan, komunikasi awam dan penjenamaan program nasional,” tegasnya. - DagangNews.com








