Pemilik hartanah dijangka berdepan permintaan lemah dan kadar sewa perlahan susulan pengenalan SST diperluas - JLL Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemilik hartanah dijangka berdepan permintaan lemah dan kadar sewa perlahan susulan pengenalan SST diperluas - JLL Malaysia

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pasaran hartanah komersial Malaysia dijangka berdepan kadar pertumbuhan sewa yang lebih perlahan susulan tekanan daripada pengenalan rangka kerja cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas, menurut JLL Malaysia.

 

Perluasan SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 itu mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8% ke atas aktiviti penyewaan dan sewaan hartanah komersial, selain cukai baharu SST 6% ke atas perkhidmatan kerja pembinaan yang sebelum ini dikecualikan. 

 

Ia meliputi pejabat, pusat beli-belah, lot kedai dan gudang bagi pemilik hartanah dengan hasil tahunan melebihi RM1 juta.

 

“Susulan SST ini, pasaran hartanah Malaysia dijangka menyaksikan kadar pengambilan yang perlahan di semua segmen hartanah komersial dengan tekanan terhadap pertumbuhan kadar sewa,” kata Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva dalam satu kenyataan.

 

“Bagi mengekang trend ini, pemilik hartanah dijangka meningkatkan konsesi kepada penyewa untuk menarik dan mengekalkan kadar huni. Dalam pasaran pelaburan, aktiviti transaksi mungkin berkurang apabila nilai modal dan hasil pelaburan menyesuaikan diri untuk mencapai keseimbangan baharu,” jelasnya.

 

JLL Malaysia turut menegaskan bahawa peluasan SST meningkatkan kos operasi untuk penyewa. 

 

“Penyewa pejabat kini berdepan cabaran berganda iaitu kadar sewa lebih tinggi dan kos ubahsuai (fit-out) yang meningkat akibat cukai perkhidmatan pembinaan. Perubahan ini dijangka mempengaruhi keputusan pemindahan pejabat dan menguatkan penentangan terhadap kenaikan sewa standard ketika pembaharuan kontrak,” katanya.

 

Dalam sektor runcit, impaknya berbeza mengikut saiz penyewa. 

 

“Pusat beli-belah yang mempunyai pelanggan lebih tinggi daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan kurang terjejas. Hasil temu bual JLL menunjukkan kebanyakan pengendali pusat beli-belah mengelak menaikkan sewa tambahan kerana menyedari penyewa sudah menanggung kos SST,” jelas firma itu.

 

Bagi segmen perindustrian dan logistik, di mana kos ubahsuai kurang signifikan, kenaikan kadar sewa boleh mendorong pemilik menawarkan lebih banyak insentif kepada penyewa. 

 

Dalam masa yang sama, pemilik hartanah dengan kadar kekosongan tinggi mungkin terpaksa memberikan syarat lebih menarik, manakala pemilik hartanah kerajaan pula dijangka memperoleh kelebihan daya saing berikutan status pengecualian cukai.

 

Firma perunding hartanah itu turut menekankan bahawa pemaju kini berada di bawah tekanan apabila kos pembinaan meningkat dan margin mengecil. Ramai pemaju dijangka beralih kepada projek jangka masa lebih pendek atau menangguhkan pembangunan berskala besar. 

 

“Pemaju perbandaran mungkin memindahkan kos kepada pembeli, manakala segmen komersial dan industri berdepan cabaran untuk melaksanakan strategi serupa. Pemaju yang projeknya sedang dibangunkan pula berisiko menanggung kos lebih tinggi selain potensi permintaan yang lebih lemah,” jelasnya.

 

Dari sudut pelaburan, JLL Malaysia berkata unjuran pertumbuhan hasil pemilik hartanah dijangka sederhana, dengan dana amanah pelaburan hartanah (REIT) dan pelabur perlu menyemak semula model penilaian. 

 

Hasil pelaburan juga dijangka mengalami sedikit pemampatan, ditambah pula dengan peningkatan kos operasi daripada tarif elektrik, kenaikan gaji minimum dan SST ke atas pelbagai perkhidmatan. - DagangNews.com