KUALA LUMPUR 20 Julai – Pemegang saham Eonmetall Group Berhad sebulat suara meluluskan cadangan pelupusan dua lot tanah perindustrian pegangan bebas di Kapar, Klang, Selangor bernilai RM273.3 juta.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penjualan tersebut sekali gus membuka laluan kepada syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan serta mengoptimumkan nilai asetnya.
Ujarnya, resolusi tunggal yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) berlangsung di Wisma Leader, Bukit Tengah, Pulau Pinang hari ini dan diluluskan sepenuhnya oleh kesemua pemegang saham.
"Cadangan tersebut membabitkan pelupusan lot tanah berstatus pegangan bebas yang dimiliki oleh anak syarikat milik penuhnya, Eonmetall Land Sdn Bhd, kepada WG Malaysia VIII Sdn Bhd," jelas Eonmetall
Hartanah berkenaan melibatkan Geran 455284, Lot 119910 dan Geran 455285, Lot 119911, dengan nilai transaksi ialah sebanyak RM273,275,005, serta akan dibayar oleh pembeli sepenuhnya secara tunai.

Keputusan pengundian menunjukkan cadangan itu memperoleh sokongan penuh apabila 81 pemegang saham mewakili 183.6 juta saham menyokong usul tanpa langsung ada sebarang undi bantahan.
Eonmetall berkata, ia membabitkan keluasan 26.723 hektar dan keputusan pengundian tersebut turut disahkan firma Commercial Quest Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemeriksa bebas bagi EGM berkenaan.
"Kelulusan daripada pemegang saham berkenaan juga membolehkan syarikat dapat meneruskan pelaksanaan urus niaga pelupusan asset mengikut terma dipersetujui dengan pembeli," tambahnya lagi.
Cadangan itu sebelum ini diumumkan sebagai sebahagian langkah strategik kumpulan merealisasikan nilai hartanah miliknya, selain mengukuhkan kedudukan kewangan bagi pertumbuhan pada masa hadapan.
Dengan kelulusan yang diperoleh pada EGM, Eonmetall boleh meneruskan proses penyempurnaan transaksi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat dipersetujui dalam perjanjian jual beli. - DagangNews.com








