KUALA LUMPUR 3 Okt - Pengambilalihan SCIB Concrete Manufacturing bukan sahaja mengukuhkan capaian logistik dan pengeluaran simen YTL Corporation Bhd di Malaysia Timur, tetapi mampu menjadi akses kepada industri hiliran simen di negeri Sarawak, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menyifatkan langkah ini sebagai strategik dan bernilai tambah, memandangkan YTL Cement telah pun aktif dalam inisiatif menambah baik rantaian bekalan simen di Sarawak.
Sebelum ini pada Julai 2023, YTL Cement menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, Innocement Sdn Bhd, untuk memperkukuh rantaian bekalan simen bagi menyokong pembangunan infrastruktur pesat di negeri itu.
"Kami juga percaya sinergi ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuhkan bekalan simen di negeri itu selari dengan pembangunan pesat membabitkan pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya, empangan dan projek strategik lain," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun di sebalik reaksi positif itu MBSB mengekalkan harga sasaran (TP) YTL Corp pada RM2.99, namun menurunkan penarafan kepada TRADING BUY, berikutan kenaikan harga saham baru-baru ini yang mengehadkan potensi keuntungan jangka pendek.
Walaupun begitu, firma berkenaan masih positif terhadap prospek kumpulan, terutamanya hasil daripada potensi pengambilalihan SCIB Concrete dan pertumbuhan yang dijana daripada segmen utiliti dan bahan binaan.
Katanya, YTL dijangka terus mendapat manfaat daripada kitaran naik industri pembinaan, memandangkan penglibatannya secara langsung dalam projek gudang, pusat data, dan perumahan.
Selain itu, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) yang akan datang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu, terutama bagi YTL yang turut meluaskan penglibatan dalam sektor pusat data dan tenaga boleh diperbaharui.
Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan SCIB Concrete, anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), MBSB berkata segmen pembuatan SCIB mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM9.7 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir Jun 2025 (12MFY25), berbanding RM15.3 juta dalam 12MFY24.
Kumpulan itu baru-baru ini menukar tahun kewangan berakhirannya kepada Oktober 2025.
Berdasarkan anggaran bahawa 70% daripada sumbangan PAT datang daripada SCIB Concrete, harga indikatif pembelian sebanyak RM113 juta diterjemahkan kepada nisbah harga perolehan (PER) sekitar 14 kali bagi FY24, yang dilihat munasabah.
Dalam pada itu saham SCIB melonjak hampir 50% pada dagangan aktif pagi Jumaat susulan berita minat YTL untuk mengambil alih unit pembuatan konkrit milik kumpulan itu dengan nilai RM113 juta.
Kaunter SCIB dibuka 21.2% lebih tinggi atau naik 3.5 sen kepada 20 sen, sebelum meneruskan momentum menaik sehingga 48.5% atau 8 sen untuk mencecah paras tertinggi harian pada 24.5 sen — didorong minat belian tinggi yang menjadikan jumlah dagangan harian tertinggi dalam tempoh lebih setahun.
Saham SCIB kemudiannya sedikit menyusut kepada 22 sen, masih mencatatkan kenaikan 5.5 sen atau 33.3%, dengan lebih 25.99 juta saham diniagakan — menjadikannya sesi dagangan paling aktif sejak 18 September 2024. - DagangNews.com








