Pembelian pesawat Boeing AS$9.5 bilion tidak beri kesan kepada paras hutang negara - Lim Hui Ying | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian pesawat Boeing AS$9.5 bilion tidak beri kesan kepada paras hutang negara - Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Pembelian fasa kedua pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion tidak akan memberi kesan kepada paras hutang Malaysia mahupun menjejaskan defisit fiskal, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

 

Lim berkata pembelian pesawat tersebut adalah sebahagian daripada pelan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

“Buat masa ini, semuanya adalah dalam jangkaan kami,” kata Lim semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh), yang meminta penjelasan mengenai langkah kontingensi kerajaan untuk mengawal beban hutang negara selepas Malaysia komited membeli pesawat dari Amerika Syarikat (AS).

 

Menjawab soalan awal Nik Muhammad mengenai justifikasi kerajaan membenarkan hutang negara kekal tinggi di tengah ketidaktentuan geopolitik, Lim menyatakan bahawa peningkatan hutang kerajaan adalah disebabkan keperluan membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

 

“Pembiayaan ini secara langsung akan meningkatkan paras hutang kerajaan selagi kedudukan kewangan kerajaan kekal dalam keadaan defisit,” jelasnya.

 

Lim turut memperjelaskan kerajaan tidak hanya bergantung pada hutang untuk membiayai DE, yang juga dibiayai melalui pelbagai sumber lain seperti hasil cukai dan pendapatan bukan cukai.

 

“Sehingga kini, kerajaan tidak pernah berhutang melebihi had statutori yang dibenarkan di bawah undang-undang hutang kerajaan persekutuan yang berkenaan.

 

"Sehingga akhir Jun 2025, Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan, dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia berada pada kadar 62.7 peratus, yang tidak melebihi had 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang ditetapkan di bawah Akta 637 dan Akta 275,” katanya.

 

Lim menambah, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.8 bilion masih berada di bawah had RM35 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 403, manakala Bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM2 bilion adalah dalam had RM10 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 188. - DagangNews.com