Pembangunan Pangkalan Raja Tun Uda dilaksanakan secara telus untuk tingkatkan nilai komersial, tanpa libatkan dana awam - Penang Port | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan Pangkalan Raja Tun Uda dilaksanakan secara telus untuk tingkatkan nilai komersial, tanpa libatkan dana awam - Penang Port

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Jan – Penang Port Sdn Bhd menegaskan pembangunan semula Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town dilaksanakan menerusi kontrak sub-pajakan yang dianugerahkan secara telus, selaras dengan pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan itu bagi meningkatkan nilai komersial asetnya.

 

Pengendali pelabuhan itu menjelaskan, PRTU merupakan salah satu kemudahan utama di bawah pengurusannya dan berfungsi sebagai terminal feri utama, bersama Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

 

Kawasan sekitar PRTU telah dikenal pasti untuk dibangunkan secara berfasa menjadi zon komersial, sebagai sebahagian daripada strategi pengoptimuman penggunaan tanah pelabuhan.

 

Menurut Penang Port, kontrak pembangunan kawasan PRTU telah dianugerahkan melalui proses permintaan cadangan (RFP) yang telus, dan melibatkan susunan sub-pajakan dengan pemaju, tanpa sebarang penggunaan dana kerajaan atau dana awam.

 

“Pembangunan dalam kawasan pelabuhan dilaksanakan secara terancang bagi mengimbangi keperluan pembangunan fizikal, kepentingan ekonomi, kebajikan penyewa serta keselamatan pengguna,” katanya.

 

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab dakwaan dan isu yang dibangkitkan kebelakangan ini berhubung kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di PRTU.

 

Mengulas isu rundingan dengan penyewa sedia ada, Penang Port mengesahkan satu sesi libat urus telah diadakan pada 29 Disember 2025 bersama pemaju GIC Consultancy Sdn Bhd serta semua penyewa yang terlibat.

 

Sesi berkenaan bertujuan memberi penerangan mengenai pelan pembangunan, garis masa pelaksanaan dan implikasi terhadap operasi perniagaan.

 

“Hasil perbincangan tersebut, semua penyewa bersetuju untuk mengosongkan premis masing-masing bagi membolehkan kerja pembangunan diteruskan tanpa sebarang bantahan rasmi,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada terma pengaturan kontrak, Penang Port turut memberi jaminan keutamaan sewaan semula kepada penyewa terlibat selepas kerja naik taraf fasa awal siap, yang dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan.

 

Secara keseluruhan, projek pembangunan PRTU diunjurkan siap dalam tempoh lapan bulan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Berhubung pematuhan syarat dan kelulusan pihak berkuasa tempatan, Penang Port menjelaskan pemaju sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang, mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

 

Dari aspek keselamatan, Penang Port menegaskan keselamatan penumpang dan orang awam kekal sebagai keutamaan utama sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.

 

Buat masa ini, tiada kerja perobohan berisiko tinggi dijalankan dan laluan utama awam di PRTU masih beroperasi sepenuhnya tanpa gangguan.

 

Apabila kerja pembinaan utama bermula, Penang Port memberi jaminan akses awam akan terus diutamakan, dengan penyediaan laluan alternatif yang selamat dan sesuai untuk penumpang feri serta orang ramai.

 

Penjelasan ini sekali gus menegaskan kontrak pembangunan PRTU dilaksanakan secara berstruktur, telus dan mematuhi peraturan, sejajar dengan usaha Penang Port untuk merangsang aktiviti ekonomi tempatan dan meningkatkan pengalaman pengguna di terminal feri berkenaan.