Pelantikan Ketua Audit Negara teratur, tiada keperluan Wan Suraya dibersarakan - AGC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelantikan Ketua Audit Negara teratur, tiada keperluan Wan Suraya dibersarakan - AGC

KUALA LUMPUR 26 Julai - Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62),  Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

 

Menerusi satu kenyataan, AGC memaklumkan bahawa merujuk kepada Fasal (2) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, apabila Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023, beliau tidak lagi memegang apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan.

 

Oleh itu, beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

 

“Meskipun beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan PTD, Ketua Audit Negara masih terus menjadi anggota perkhidmatan awam am berdasarkan Seksyen 3 Akta 62.

 

“Memandangkan pelantikan beliau sebagai Ketua Audit Negara adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan demi kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.

 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata perkara itu telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Memang dari segi Perlembagaan tidak timbul sebarang isu kerana ia menepati apa yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

 

Berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 [Akta 62], Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

 

Baru-baru ini, beberapa pihak mendakwa jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Wan Suraya adalah tidak sah kerana lantikan beliau tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Mereka mendakwa jawatan itu sepatutnya disandang oleh individu yang sudah tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam sama ada sudah bersara atau melepaskan jawatan.

 

Ini bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat bertindak secara bebas tanpa terikat kepada mana-mana pegawai yang lebih tinggi daripada beliau dalam perkhidmatan awam.

 

Wan Suraya, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa pada 13 Jun 2023.

 

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan serta dalam beberapa kapasiti di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi & Pemantauan). - BERNAMA