KUALA LUMPUR 25 Julai - Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuktikan keupayaan mereka sebagai agen perubahan sosial menerusi projek digital #InspireInaq yang mengetengahkan kandungan berasaskan nilai Islam dan pemikiran reflektif.
Projek ini digerakkan oleh pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM sebagai sebahagian daripada kursus komunikasi media baharu yang berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
#InspireInaq yang membawa maksud “Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli”, memberi ruang kepada pelajar mencipta kandungan digital menyentuh isu seperti kesihatan mental, tekanan emosi, nilai kekeluargaan dan tanggungjawab sosial — semua disampaikan melalui video pendek dan poster digital.
Kandungan ini boleh ditonton menerusi akaun rasmi TikTok @inspireinaq.nmc yang kini memuatkan puluhan video kreatif pelajar dari pelbagai program. Antara video yang mendapat perhatian ialah “Kembali Kepada Al-Quran: Jalan Menuju Kebahagiaan”, yang menyeru masyarakat kembali menghayati ajaran suci sebagai panduan hidup.

Menurut penyelaras projek, Dr. Norsimaa Mustaffa dan Dr. Kartini Kamaruzzaman, pendekatan ini melatih pelajar memerhati isu masyarakat dari perspektif Islam dan menterjemahkannya ke dalam bentuk kandungan digital yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Selain video, pelajar turut menghasilkan poster digital bertemakan nilai murni seperti “Mendengar dengan Jiwa: Seni Empati dalam Hubungan Manusia” dan “Keruntuhan Akhlak dan Moral Dalam Kalangan Pelajar Universiti”, yang dikongsi melalui Instagram, WhatsApp dan Telegram.
Seluruh proses penghasilan kandungan – daripada kajian isu, penulisan skrip, penyuntingan, hingga strategi penularan media sosial – dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar, membuktikan mereka memiliki kemahiran teknikal dan kepekaan sosial yang tinggi.
Projek ini turut mencetuskan aktiviti susulan seperti forum, bual bicara, kempen kesedaran dan aktivisme digital, menjadikan pelajar bukan sahaja pencipta kandungan tetapi juga pemimpin pemikiran dalam kalangan rakan sebaya.


Pelajar turut didedahkan kepada ekosistem industri media digital sebenar melalui penggunaan perisian penyuntingan profesional, teknik skrip persuasif dan strategi kandungan sejajar dengan algoritma media sosial.
#InspireInaq membuktikan bahawa apabila diberi bimbingan dan ruang ekspresi, media sosial boleh menjadi wadah pendidikan, pembentukan jati diri dan penyampaian mesej kebaikan secara kreatif dan menyentuh jiwa.
Inisiatif ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, ilmu dan integriti, memperlihatkan potensi pelajar sebagai peneraju perubahan sosial yang berdaya tahan dan berakhlak mulia. - DagangNews.com








