KUALA LUMPUR 11 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mempercepatkan pelaburannya dengan China dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE) bagi memanfaatkan potensi sektor itu serta memastikan pembangunan wilayah yang seimbang.
Anwar berkata, beliau telah menyampaikan saranan tersebut kepada Perdana Menteri China, Li Qiang semasa perbincangan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Dalam pertemuan saya dengan Premier Li Qiang, saya telah mencadangkan agar pelaburan China dengan Khazanah dalam sektor nadir bumi dipercepatkan,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang bertanya sama ada kerajaan merancang dasar yang lebih tegas untuk menilai semula unjuran pertumbuhan ekonomi wilayah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengelak ketidakseimbangan antara wilayah.
Media sebelum ini melaporkan pembangunan REE merupakan antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Anwar dan Li Qiang di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta mesyuarat berkaitan.
Agensi berita antarabangsa Reuters sebelum ini melaporkan Malaysia dan China kini dalam peringkat awal perbincangan mengenai projek pemprosesan nadir bumi, dengan Khazanah dijangka bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China untuk membangunkan loji penapisan di Malaysia.
Pada 6 Oktober lalu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata dana kekayaan berdaulat itu sentiasa meneroka peluang baharu dalam pelbagai sektor bagi memacu agenda ekonomi negara.
“Kami sedar mengenai perbincangan antara kerajaan Malaysia dan China berhubung REE dan bersedia menyokong usaha untuk meneroka serta membangunkan sektor strategik baharu, termasuk REE, bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Forum Megatrends Khazanah 2025.
Sebelum itu, pada 27 Ogos, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan kerajaan kekal komited untuk membangunkan serta menarik pelabur bagi memperkukuh aktiviti pengeluaran sepanjang rantaian bekalan REE di Malaysia.
Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan REE tidak radioaktif dengan nilai pasaran mencecah RM809.6 bilion.
Menjawab soalan tambahan di Parlimen mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (Agreement on Reciprocal Trade, ART) yang baru ditandatangani, Anwar menegaskan bahawa perjanjian itu — yang turut merangkumi nadir bumi — tidak terhad kepada Amerika Syarikat.
“Ada yang beranggapan perjanjian perdagangan itu menghadkan eksport nadir bumi kepada AS sahaja. Itu tidak benar. Semasa rundingan selama dua minggu di Korea, kita telah mewujudkan ruang untuk JS Link membuka kemudahan tambahan bagi pengeluaran ‘super magnet’ nadir bumi di Pahang,” katanya.
Pada bulan Julai lalu, Lynas Rare Earths Ltd mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian awal dengan JS Link untuk membangunkan kemudahan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia.
Melalui memorandum persefahaman (MoU) tersebut, Lynas akan bekerjasama dengan JS Link untuk membina loji yang mampu menghasilkan sehingga 3,000 tan magnet kekal sinter neodymium-besi-boron (NdFeB) berhampiran loji bahan termaju Lynas di Kuantan, Pahang. - BERNAMA








