KUALA LUMPUR 17 Nov – Bursa Malaysia kembali menerima sokongan pelabur asing selepas lima minggu mengalami tekanan jualan, apabila kumpulan pelabur itu mencatat aliran masuk bersih RM477.3 juta minggu lalu, menurut laporan terkini CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata aliran masuk tersebut turut membantu mengurangkan jumlah aliran keluar sejak awal tahun kepada RM18.75 bilion, sekali gus menandakan pemulihan minat asing terhadap ekuiti domestik.
Menurut CIMB Securities, pelabur nominee tempatan turut beralih kepada kedudukan beli bersih sebanyak RM36.3 juta, berbanding jual bersih RM2.4 juta pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, pelabur institusi tempatan kembali mencatat jualan bersih RM330.5 juta selepas lima minggu berada dalam mod belian.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut, walaupun aliran keluar mengecil 18.8% minggu ke minggu kepada RM158.5 juta.
Dalam analisis sektor dan saham, CIMB Securities melaporkan pelabur asing adalah penjual bersih bagi Kuala Lumpur Kepong (KLK), YTL Power, dan YTL.
Pelabur institusi tempatan pula mencatat jualan bersih terbesar dalam sektor Produk Perindustrian, Perkhidmatan Kewangan dan Perladangan dengan Press Metal, Maybank dan SD Guthrie menjadi tiga saham jual bersih utama.
Namun, institusi tempatan turut mencatat belian bersih dalam sektor Utiliti (RM124 juta), Telekomunikasi (RM60 juta) dan REIT (RM52 juta) melibatkan saham utama KLK, Tenaga Nasional dan Public Bank sebagai tiga kaunter beli bersih terbesar.
Dalam kalangan pelabur runcit, mereka muncul sebagai penjual bersih ketara dalam Sektor Pengguna (RM230.4 juta), Sektor Telekomunikasi & Media (RM17.5 juta) dengan Genting Malaysia, CIMB dan Tenaga Nasional menjadi tiga kaunter jualan bersih utama. - DagangNews.com








