KUALA LUMPUR 3 Okt – Pasaran bon Malaysia kembali menarik minat pelabur asing pada Ogos dan September 2025, susulan jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang melemahkan Dolar AS dan menyokong minat terhadap pasaran pendapatan tetap serantau, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut data yang dikumpul bank pelaburan itu, pelabur asing mencatatkan pembelian bersih sebanyak RM3 bilion dalam bon Ringgit pada Ogos, sekali gus menamatkan trend aliran keluar selama dua bulan berturut-turut.
Ini menjadikan jumlah aliran masuk bersih asing dalam pasaran bon Malaysia untuk tahun ini mencecah RM19 bilion setakat September, dengan jumlah pegangan asing meningkat kepada RM294 bilion.
Pegangan Asing dalam MGS dan GII Naik ke 21.3%
Lebih penting, pegangan asing dalam sekuriti kerajaan Malaysia (MGS dan GII) meningkat kepada 21.3% pada akhir Ogos, berbanding 21.1% pada Julai.
Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap instrumen hutang berdaulat negara walaupun dalam suasana ketidaktentuan global.
Pasaran bon tempatan turut mendapat manfaat daripada kestabilan ringgit serta minat terhadap pulangan relatif tinggi yang ditawarkan berbanding negara maju.
Maybank IB berkata, di peringkat serantau, Malaysia dan Indonesia kekal sebagai pasaran pilihan utama pelabur asing dalam pasaran bon.
Indonesia menarik lebih banyak aliran masuk disebabkan pelonggaran dasar oleh Bank Indonesia, manakala pasaran bon Thailand kekal tidak digemari pelabur luar.
Sementara itu Maybank IB berkata, Bursa Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih dana asing secara marginal pada September 2025, menjadikannya kali kedua pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan tahun ini.
Katanya, pelabur asing mencatatkan pembelian bersih sekitar RM100 juta, berbanding aliran keluar sebanyak RM3.4 bilion pada Ogos.
Walau bagaimanapun, penyertaan asing dalam dagangan merosot sedikit kepada 40.7%, daripada 42.2% pada bulan sebelumnya.
"Berdasarkan pemerhatian, pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih dalam kaunter-kaunter utama seperti Maybank, SD Guthrie, dan Westports, namun mengekalkan posisi jualan bersih dalam CIMB dan Public Bank," ujar Maybank IB.
Indeks FBM KLCI meneruskan kenaikan dengan lonjakan 2.3% bulan ke bulan (MoM) pada September, disokong oleh prestasi memberangsangkan kebanyakan sektor.
Sektor Utiliti muncul sebagai pemacu utama pasaran bulan lalu, diikuti oleh sektor Industri. Bagi prestasi tahun-ke-tarikh (YTD), sektor Pembinaan kekal sebagai peneraju, manakala sektor Penjagaan Kesihatan kekal lemah disebabkan prestasi suram subsektor sarung tangan.
Walaupun purata nilai dagangan harian (ADTV) menurun kepada RM2.8 bilion berbanding RM3.0 bilion pada Ogos, penyertaan pelabur runcit meningkat ketara kepada 17%, naik dari 15.3% sebelumnya.
"Institusi tempatan kekal stabil pada paras 42.3%, manakala penyertaan asing (tidak termasuk urus niaga langsung atau DBT) mencatatkan sedikit penurunan," kata Maybank IB. - DagangNews.com








