Pelabur asing beli ekuiti RM716.1 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli ekuiti RM716.1 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Jan - Pelabur asing terus membeli ekuiti di Bursa Malaysia untuk tempoh dua minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM716.1 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, mereka menjadi pembeli paling tinggi pada Khamis (RM330.0 juta), diikuti Rabu (RM172.0 juta), Jumaat (RM115.5 juta), Selasa (RM69.5 juta) dan Isnin (RM29.2 juta).


"Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM365.9 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM177.3 juta) serta perladangan (RM90.1 juta)," katanya dalam nota.


MBSB Research menambah, tiga sektor lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu pembinaan (RM54.3 juta), penjagaan kesihatan (RM52.9 juta) serta hartanah (RM29.3 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan tidak meneruskan aliran belian bersih untuk minggu kelapan berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar sebanyak RM588.2 juta.


Kata MBSB Research, pada masa yang sama, pelabur runcit tempatan meneruskan rentak jualan bersih untuk minggu ketujuh, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM127.8 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan naik 14%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing bertambah 18.2% dan 18.7%. - DagangNews.com