KUALA LUMPUR 26 Jan - Pelabur asing terus membeli ekuiti di Bursa Malaysia untuk tempoh tiga minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM510.9 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut menjadi pembeli yang paling tinggi pada Rabu (RM215.4 juta), diikuti Khamis (RM167.8 juta), Jumaat (RM131.8 juta), Isnin (RM12.4 juta).
"Bagaimanapun, pelabur asing bertindak menjual ekuiti mereka hanya pada dagangan Selasa dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM17.5 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM407.5 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM148.6 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM87.8 juta).
MBSB Research menambah, tiga sektor lain namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu penjagaan kesihatan (RM141.8 juta), pembinaan (RM40.9 juta) serta utiliti (RM19.5 juta).
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan kembali dengan aliran belian bersih sebanyak RM853.0 juta selepas lapan minggu berturut-turut mencatatkan aliran keluar.
"Pada masa yang sama, pelabur runcit tempatan meneruskan rentak jualan bersih untuk minggu yang kelapan berturut-turut, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM1.36 bilion," katanya.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan dan institusi tempatan naik masing-masing 18.4% dan 0.3%, manakala pelabur asing susut 12.2%. - DagangNews.com








