Pegangan 6.3% Magnum dalam U Mobile bernilai RM385.4 juta; IPO berpotensi naikkan kepada RM633 juta - RHB Invest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pegangan 6.3% Magnum dalam U Mobile bernilai RM385.4 juta; IPO berpotensi naikkan kepada RM633 juta - RHB Invest

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pegangan 6.3% Magnum Bhd dalam U Mobile Bhd yang kini dibawa pada nilai buku RM385.4 juta dijangka mencatat lonjakan apabila syarikat telekomunikasi itu semakin hampir ke arah penyenaraian awam awal (IPO), menurut RHB Investment Bank.

 

“Sekiranya U Mobile mencapai penilaian IPO yang disasarkan sebanyak RM10 bilion, pegangan Magnum akan bernilai sekitar RM633 juta — mewakili peningkatan hampir RM248 juta daripada nilai bukunya sekarang,” kata RHB Invest dalam nota penyelidikan.

 

“Penilaian semula ini boleh menterjemah kepada potensi kenaikan tambahan 12% terhadap harga sasaran Magnum pada RM1.29.”

 

 

 

 

 

 

 

RHB Invest menambah, walaupun pendedahan Magnum dalam U Mobile mungkin menjadi pemangkin jangka pendek, sektor operator ramalan nombor (NFO) secara keseluruhan masih berdepan cabaran struktur.

 

Operasi di utara Semenanjung

“Operator haram telah menguasai pasaran sejak pandemik COVID-19 serta penggantungan operasi sah di negeri-negeri utara, dengan operator berlesen kini menunggu keputusan mahkamah untuk berpotensi menyambung semula operasi di sana,” jelas RHB Invest.

 

Mengenai penilaian, RHB menekankan sektor ini kekal defensif namun dengan prospek pertumbuhan yang terhad.

 

“Kami percaya penilaian semasa adalah adil, mencerminkan sifat defensif NFO dan pemacu pertumbuhan yang terhad, sambil masih menawarkan hasil dividen menarik antara 5% hingga 7%,” katanya.

 

 

 

 

 

 

“Dalam sektor ini, kami memilih Sports Toto Bhd (SPTOTO) kerana penilaian yang menarik dan hasil dividen yang lebih kukuh, menjadikannya pilihan defensif untuk pelabur berfokus pendapatan,” tambah RHB.

 

Bank pelaburan itu mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor berkenaan. - DagangNews.com