GEORGE TOWN 12 Sept – PBA Holdings Berhad (PBAHB) mengumumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan rayuan syarikat itu untuk mengurangkan premium tanah bagi pemberimilikan 4.11 ekar tanah di Jalan Macallum kepada RM20 juta, sekali gus membuka jalan kepada pembangunan infrastruktur air yang penting.
Tanah tersebut, dikenali sebagai Plot B, telah diluluskan untuk pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.
Anak syarikat milik penuh PBAHB, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), akan menggunakan tapak berkenaan bagi pembinaan rumah pam, penyelenggaraan paip bagi paip dasar laut kembar ketiga serta projek infrastruktur air masa depan.
Pada awalnya, Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDT DTL) telah menetapkan premium tanah sebanyak RM55.38 juta bagi pajakan 99 tahun.
PBAPP kemudiannya mengemukakan rayuan pada Februari 2025 dengan alasan syarikat telah menanggung kos penambakan berjumlah RM8 juta, manakala sebahagian tanah yang ditambak (Plot A) telah diserahkan kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bayaran.
Syarikat juga menegaskan tanah tersebut hanya untuk kegunaan bukan komersial bagi menyokong keperluan bekalan air jangka panjang Pulau Pinang.
“Premium yang dikurangkan ini membolehkan PBAPP memperoleh tanah pada kos yang lebih mampan, memastikan projek infrastruktur bekalan air kritikal di Pulau Pinang dapat diteruskan tanpa beban kewangan yang berlebihan,” kata syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Premium sebanyak RM20 juta itu akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman. PBAHB menambah bahawa urus niaga tersebut tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan, aset bersih atau keuntungan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pemberimilikan tanah ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memegang 55% saham PBAHB melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SSI).
Pengarah yang berkaitan dengan kerajaan negeri, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Zulkifli Long serta beberapa ahli lembaga pengarah lantikan kerajaan, telah berkecuali dan akan terus berkecuali daripada sebarang perbincangan serta pengundian berhubung perkara tersebut.
Pemberimilikan tanah dijangka selesai menjelang Disember 2025.
Dengan nisbah peratusan tertinggi 1.87%—di bawah ambang 5%—urus niaga ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com








