KUALA LUMPUR 9 Feb - Nexus Global Payments (NGP) melantik usaha sama antara Payments Network Malaysia (PayNet) dan Network for Electronic Transfers Singapore (NETS) sebagai Pengendali Teknikal Nexus (NTO) selepas melalui proses perolehan kompetitif yang melibatkan pembida global.
Pelantikan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan infrastruktur pembayaran global yang saling beroperasi, dengan penilaian terhadap pembida mengambil kira keupayaan teknikal, daya tahan operasi, kecekapan kos serta keselarasan dengan visi Nexus untuk kebolehoperasian global.
Usaha sama PayNet dan NETS dipilih berikutan rekod prestasi kukuh kedua-dua rangkaian pembayaran utama ASEAN itu, selain komitmen mereka terhadap inovasi dan kerjasama strategik.
Sebagai NTO, entiti berkenaan akan bekerjasama rapat dengan firma global Amazon Web Services (AWS) dan Endava bagi menyampaikan reka bentuk teknikal serta pembangunan platform Nexus.
AWS merupakan peneraju teknologi awan global yang membolehkan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) generatif diakses oleh organisasi pelbagai saiz dan industri, manakala Endava akan mengetuai reka bentuk serta kejuruteraan menyeluruh menggunakan pendekatan berteras AI untuk membangunkan penyelesaian yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
Kerjasama ini dijangka memastikan Nexus dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa, berskala sejak peringkat awal dan mencerminkan amalan terbaik daripada pelbagai persekitaran sistem pembayaran.
Di bawah pelantikan itu, NTO akan bertanggungjawab membina, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur Nexus selain memastikan pematuhan kepada piawaian global, termasuk aspek keselamatan siber dan daya tahan operasi.
Ia juga akan menyelaras proses penyertaan entiti yang mengurus skim pembayaran segera domestik untuk dihubungkan kepada Nexus, sekali gus membolehkan bank dan institusi bukan bank menjadi sebahagian daripada rangkaian berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif NGP, Andrew McCormack berkata, perkongsian dengan PayNet dan NETS merupakan langkah penting ke arah merealisasikan visi rangkaian pembayaran global yang saling beroperasi.
“Dengan kepakaran terbukti dan komitmen rakan kongsi kami terhadap inovasi, kami yakin Nexus akan berdaya tahan, sejajar dengan piawaian antarabangsa sejak hari pertama dan bersedia untuk penskalaan global pada masa hadapan.
“Nexus sedang membentuk masa depan di mana pembayaran rentas sempadan adalah segera, mudah diakses dan saling berhubung secara lancar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia serta mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan domestik dalam membolehkan pembayaran rentas sempadan.
“Melalui DuitNow dan usaha kebolehoperasian serantau, kami telah membuktikan potensi yang ada dan kini bersedia untuk memperluaskan impak tersebut ke peringkat global melalui Nexus.
“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada bab baharu ini dalam membina ekosistem pembayaran global yang lebih berhubung, inklusif dan lancar,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NETS, Lawrence Chan pula berkata pelantikan itu mengukuhkan peranan Singapura dalam memacu inovasi pembayaran rentas sempadan.
Menurutnya, NETS sebelum ini terlibat dalam penubuhan hubungan rentas sempadan dua hala pertama antara Singapura dan Thailand bagi pemindahan akaun ke akaun pada 2021.
“Kami teruja untuk membawa semangat inovasi ini bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan yang lancar melalui ekosistem ‘rangkaian ke rangkaian’.
“Kami menantikan kerjasama dalam merealisasikan visi pembayaran tanpa sempadan ke arah infrastruktur rangkaian pembayaran antarabangsa masa nyata yang moden,” katanya. - DagangNews.com








