KUALA LUMPUR 11 Nov - Pasaran buruh yang kukuh dan dasar kerajaan telah berjaya mencipta persekitaran yang kondusif untuk perbelanjaan penggunaan swasta sebenar terus berkembang, menurut Maybank IB.
Bank pelaburan itu berkata, keadaan itu membantu pertumbuhan penggunaan swasta dengan separuh pertama tahun ini (1H2025) diunjurkan mencatat pertumbuhan +5.2% tahun ke tahun (YoY).
"Berdasarkan unjuran semasa, pertumbuhan penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak 5.3% pada 2025, berbanding 5.1% pada 2024," katanya dalam analisis berkaitan Statistik Buruh Malaysia September hari ini.
Menurut Maybank IB, keadaan pasaran buruh yang kukuh pada September dengan kadar pengangguran stabil pada paras 3.0% menunjukkan situasi “hampir guna tenaga penuh”, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan perbelanjaan pengguna dalam tempoh mendatang.
Katanya, langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan bagi mengukuhkan keselamatan sosial dan perlindungan pekerja, serta meningkatkan mobiliti tenaga kerja muda, turut memberi kesan positif kepada keyakinan pengguna.
Pada masa sama, peningkatan pendapatan isi rumah, yang disokong oleh pelarasan gaji dan pencen penjawat awam serta kenaikan gaji sektor pembuatan (9M2025: +1.9%; 2024: +1.5%), terus memperkukuh kuasa beli rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
Kadar pengangguran purata pula dijangka kekal 3.0% bagi keseluruhan tahun 2025 dan sedikit meningkat kepada 3.1% pada 2026, menunjukkan pasaran buruh negara kekal stabil dan berdaya tahan berikutan momentum pemulihan ekonomi yang berterusan.
"Kestabilan ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan perbelanjaan isi rumah, malah menjadi asas penting kepada pengukuhan permintaan domestik, yang kekal sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com








