KUALA LUMPUR 28 Jan – Pasaran bon Malaysia dikenal pasti antara yang paling terdedah sekiranya kenaikan lanjut hasil bon Jepun mencetuskan aliran pulang modal oleh pelabur Jepun, menurut HSBC.
Firma tersebut berkata, analisis pegangan pelabur Jepun dalam bon dan ekuiti pasaran sedang pesat membangun menunjukkan yang negara ini terdedah secara tidak seimbang kepada risiko berkenaan.
Dalam nota penyelidikannya, ia memberi amaran penjualan mendadak Bon Kerajaan Jepun (JGB) dinilai berpotensi mendorong para pelabur Jepun untuk segera membawa pulang pegangan ekuiti luar negara.
"Taiwan, India dan Afrika Selatan dilihat sebagai tiga negara yang paling terdedah dari sudut ini, manakala Malaysia, Chile dan Mexico juga dalam senarai jika berlaku peningkatan bon Jepun," kata HSBC.
Menurut firma berkenaan, risiko terbesar terjadi apabila muncul situasi pelabur Jepun menjual balik segala aset berpulangan tinggi untuk menutup posisi mereka yang selama ini dibiayai dalam mata wang yen.
Bagaimanapun jelasnya, kebarangkalian kejadian itu dalam tempoh terdekat dinilai sebagai terhad, namun memberi amaran, kejatuhan mendadak pasaran JGB pada minggu lalu dikhuatiri memberi kesan rantaian.
Situasi tersebut tambah HSBC, melonjakkan hasil bon ke paras rekod tertinggi dan mencetuskan turun naik di pasaran global, sekali gus meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan dana pelabur Jepun.
"Kami menganggarkan AS$5 trilion (kira-kira RM19.57 trilion) modal Jepun kini dilaburkan di luar negara, dan tidak termasuk pendedahan yen yang dipinjam dana asing sendiri untuk pelaburan global," katanya.
Sehubungan itu, firma berkenaan menjangka kenaikan hasil JGB juga berisiko menekan hasil bon global, yang seterusnya boleh menjejaskan penilaian aset dalam masa terdekat. - DagangNews.com








