Pahang agih RM9 juta bantu 20,000 mahasiswa pada tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pahang agih RM9 juta bantu 20,000 mahasiswa pada tahun ini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM9 juta untuk 20,000 mahasiswa pada tahun ini bagi meringankan beban kewangan golongan itu.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa itu, setiap mereka akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM400.

 

“Kerajaan negeri terus komited membela kebajikan serta masa depan anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui pelaksanaan program ini.

 

“Pendidikan merupakan pelaburan strategik negeri dan tiada anak Pahang wajar tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 di Universiti Teknologi Malaysia hari ini.


Pada tahun ini, Pahang memperuntukkan RM9 juta bagi menjayakan inisiatif ini, meningkat RM1 juta berbanding tahun 2025.

 

Beliau berkata bantuan ini ditambah baik secara berperingkat sejak 2022, bermula RM200 seorang kepada RM300 pada 2023 dan RM400 sejak 2025, serta dikekalkan bagi tahun 2026 sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri.

 

“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menjadikan kebajikan mahasiswa sebagai agenda utama dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi demi membina Pahang yang lebih makmur dan sejahtera.

 

“Kita faham kesusahan mahasiswa sepanjang menuntut ilmu kerana latar belakang ekonomi keluarga adalah berbeza dan pasti bantuan ini dapat menceriakan mereka,” katanya. - DagangNews.com