Padam segera jika telah muat naik kandungan berkaitan insiden tikaman pelajar - MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Padam segera jika telah muat naik kandungan berkaitan insiden tikaman pelajar - MCMC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Okt - Orang ramai dinasihatkan segera memadamkan kandungan berkaitan insiden tikaman membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor, jika telah memuat naik inisiden tersebut di media sosial, tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Dalam kenyataan MCMC berkata, semua pihak perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.

 

Menurut MCMC, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

 

 

 

 

 

 

"Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya," kata kenyataan itu.

 

Semalam, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya.

 

Susulan kejadian itu, sejak semalam media sosial dibanjiri kandungan berkaitan mangsa, keluarga mangsa dan saspek selain gambar-gambar yang didakwa sebagai bahan bukti kepada kejadian itu.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut MCMC, perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

"MCMC merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama," kata kenyataan itu. - DagangNews.com