PAC panggil Kementerian Kewangan beri penjelasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC panggil Kementerian Kewangan beri penjelasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Julai — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Kementerian Kewangan susulan taklimat Ketua Audit Negara berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC meminta Kementerian Kewangan untuk mengadakan satu taklimat mengenai tadbir urus Jawatankuasa Perolehan Tender.

 

"Bagi prosiding PAC terhadap isu-isu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2025, PAC akan menumpukan kepada topik-topik yang dikenal pasti mempunyai elemen 3P, iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran, serta 1K, iaitu ketirisan.

 

"Tarikh prosiding dan taklimat bagi tiga topik berkaitan akan ditentukan kemudian," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Datuk Mas Ermieyati Samsudin
                            Datuk Mas Ermieyati Samsudin

 


Mas Ermieyati berkata, PAC juga akan memanggil Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KKDW) dan Felcra Berhad bagi memberi penjelasan berhubung Pengurusan Perolehan Ladang Sawit oleh Felcra Berhad 

 

PAC turut akan memanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan penjelasan berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak.

 

Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Milik Kerajaan Persekutuan, yang mengandungi isu-isu yang dibangkitkan hasil audit terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian.

 

Usul tersebut yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah diluluskan dengan majoriti undi bersetuju selepas dibahaskan oleh 32 Ahli Parlimen.

 

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC turut akan membentangkan dua Kenyataan Tindakan Susulan Kementerian pada 28 dan 29 Julai ini iaitu Kenyataan PAC mengenai Tindakan Susulan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap Syor Kenyataan PAC mengenai Perolehan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) (DR.4/2025).

 

Satu lagi kenyataan melibatkan Kenyataan PAC mengenai Tindakan Susulan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Air Negeri Sabah terhadap Syor Kenyataan PAC mengenai Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah (DR.3/2025). - DagangNews.com