Orkim dapat lanjutan kontrak sewa kapal daripada Shell | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim dapat lanjutan kontrak sewa kapal daripada Shell

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – Orkim Berhad, syarikat pengangkutan marin, melalui anak-anak syarikat milik penuhnya memeterai lanjutan kontrak sewaan pelayaran berturut-turut (CVC) dengan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Orkim mengesahkankan Orkim Leader Sdn Bhd dan Orkim Power Sdn Bhd telah menandatangani surat sampingan bagi melanjutkan kontrak CVC sedia ada selama setahun.

 

Di bawah lanjutan tersebut, tempoh sewaan bagi Orkim Power akan bermula pada 1 Februari 2026, manakala Orkim Leader bermula 1 Mac 2026.

 

Selepas tempoh lanjutan ini, pihak penyewa turut diberikan opsyen untuk melanjutkan kontrak bagi satu tahun tambahan.

 

Sekiranya opsyen itu dilaksanakan, kontrak Orkim Power boleh berlanjutan sehingga 31 Januari 2028, manakala kontrak Orkim Leader sehingga 28 Februari 2028, sekali gus meningkatkan keterlihatan hasil dan kadar penggunaan armada kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, lanjutan kontrak itu mencerminkan keyakinan Shell terhadap keupayaan operasi Orkim serta hubungan jangka panjang yang telah terjalin.

 

“Syarikat berbesar hati dapat meneruskan kerjasama lama dengan Shell bagi kedua-dua Orkim Leader dan Orkim Power. Lanjutan ini mencerminkan kebolehpercayaan operasi kami serta mengukuhkan hubungan dengan pemain tenaga utama. Kontrak ini meningkatkan keterlihatan pendapatan, mengukuhkan buku pesanan dan menyokong strategi kami untuk mengekalkan penggunaan armada yang tinggi,” katanya dalam makluman itu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, berkuat kuasa 1 Februari 2026, satu lagi anak syarikat Orkim, Orkim Marine Sdn Bhd (OMSB), turut berjaya memperoleh lanjutan kontrak CVC bagi kapal Orkim Glory selama setahun daripada pihak penyewa yang sama.

 

OMSB sebelum ini juga berjaya mendapatkan Kontrak Pengangkutan daripada Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd bagi tempoh dua tahun, dengan opsyen lanjutan setahun, yang dijangka memberi sumbangan tambahan kepada pendapatan kumpulan. - DagangNews.com