Orkim Citrine tingkatkan kapasiti muatan kapal kumpulan sebanyak 30% kepada 239,186 DWT  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim Citrine tingkatkan kapasiti muatan kapal kumpulan sebanyak 30% kepada 239,186 DWT 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – Orkim Berhad peneraju pengangkutan marin Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam industri dengan penambahan kapal terbaharu, Orkim Citrine, sebuah kapal tangki bersaiz sederhana dengan kapasiti muatan 49,999 tan metrik (deadweight tonnes, DWT).

 

Penyerahan kapal ini menjadikan jumlah armada Orkim kepada 18 buah kapal, serta meningkatkan kapasiti muatan keseluruhan Kumpulan sebanyak kira-kira 30%, kepada 239,186 DWT.

 

Dalam kenyataan, syarikat tersebut berkata, kapal Orkim Citrine yang direka khas untuk mengangkut produk petroleum bersih dan bahan kimia, dijangka memulakan pelayaran sewa pertamanya dalam masa terdekat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi, berkata penambahan ini selaras dengan visi jangka panjang syarikat untuk menyokong keperluan logistik tenaga Malaysia dan memperkukuh keupayaan sektor pengangkutan marin tempatan.

 

“Kami berbangga menerima Orkim Citrine ke dalam armada kami. Ini bukan sahaja memperkukuh kapasiti kami untuk memenuhi permintaan domestik dan serantau, tetapi juga menjadi bukti komitmen Orkim dalam memperluas tona milik Malaysia serta menyumbang kepada keselamatan tenaga negara,” ujarnya.

 

Sin Bi berkata, syarikat dijangka menambah dua lagi kapal tangki CPP baharu dalam armada kapal kumpulan menjelang tahun 2027, sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik jangka sederhana syarikat.

 

orkim

 

Dengan penyertaan Orkim Citrine, kapal terbesar dalam armada setakat ini, struktur armada Orkim kini merangkumi14 kapal tangki petroleum bersih (CPP), dengan jumlah kapasiti 134,684 DWT, 2 kapal tangki CPP bersaiz sederhana (MR) termasuk Orkim Citrine, dengan gabungan kapasiti 98,004 DWT dan 2 kapal tangki gas petroleum cecair (LPG), dengan jumlah kapasiti 6,498 DWT.

 

Kesemua kapal ini beroperasi di bawah pelbagai perjanjian sewa dan digunakan untuk penghantaran produk tenaga untuk syarikat minyak dan gas utama di Malaysia serta negara-negara jiran di Asia. - DagangNews.com