KUALA LUMPUR 30 Jan - Oriental Kopi Holdings Berhad meraih keuntungan bersih mencecah RM60.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, yang juga pencapaian tertinggi setakat ini.
Prestasi memberangsangkan ini didorong terutama sumbangan lebih tinggi daripada operasi rangkaian kafe syarikat, disokong oleh permintaan mampan daripada pelanggan tempatan dan pelancong asing.
Selain itu jelasnya, peningkatan disokong jualan produk makanan berbungkus jenama sendiri, dan syarikat meraih pendapatan tertinggi RM450.9 juta, naik 62.6% berbanding RM277.3 juta bagi FY24.
"Operasi rangkaian kafe kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM418.6 juta iaitu 92.8% daripada jumlah pendapatan keseluruhan," kata Oriental Kopi dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Segmen pengedaran dan peruncitan makanan berbungkus (FMCG) juga naik 153.0% kepada RM29.1 juta, susulan pengenalan rangkaian produk baharu dan jualan di saluran runcit, borong, dan dalam talian.
Di samping itu jelasnya lagi, FY25 merupakan tahun sulung kepada kumpulan itu sebagai sebuah syarikat awam setelah berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Januari 2025.
Bagaimanapun tambahnya, jika tidak diambil kira kos penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) sekali beri sebanyak RM1.4 juta, keuntungan bersih terlaras Oriental Kopi adalah RM62.1 juta.
"Susulan prestasi kukuh tersebut, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham, yang berjumlah RM20.0 juta dengan nisbah pembayaran 32.9%," katanya.
Setakat 30 September 2025, syarikat berkenaan mengendalikan sejumlah 28 kafe, meliputi 25 cawangan milik sendiri di Malaysia dan tiga kafe di Singapura melalui usaha sama dengan Paradise Group.
Oriental Kopi tambahnya, turut merancang untuk membuka kira-kira 13 kafe tambahan di Malaysia pada tahun kewangan 2026, dengan menilai lokasi strategik seperti Merdeka 118, Pulau Pinang, dan Sabah.
Pada masa sama, syarikat berkenaan juga sedang dalam perbincangan awal untuk pengembangan ke pasaran luar negara seperti Filipina, Thailand, dan Indonesia, berikutan potensi pasaran baik.
"Pengurusan syarikat menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prospek FY26, disokong sektor pelancongan dan pengukuhan penjenamaan yang kini berstatus patuh Syariah," katanya. - DagangNews.com








