Orang ramai diingat pastikan cip MyKad berfungsi bagi menikmati subsidi petrol bersasar - KDN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orang ramai diingat pastikan cip MyKad berfungsi bagi menikmati subsidi petrol bersasar - KDN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa orang ramai supaya memeriksa MyKad masing-masing dan memastikan cip berada dalam keadaan baik.

 

Menurut beliau, subsidi bersasar bagi petrol RON95 hanya boleh dinikmati apabila MyKad digunakan sebagai pengesahan identiti ketika mengisi minyak.

 

“Jika cip rosak atau tidak dapat dibaca, jangan bimbang. Anda boleh mengunjungi mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

 

“Insya-Allah, pembaikan akan siap pada hari yang sama. Mudah dan pantas! Jangan tunggu hingga saat akhir. Lakukan pemeriksaan awal supaya anda dan rakan-rakan dapat menikmati subsidi petrol istimewa ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

 

Beliau turut memaklumkan, harga petrol RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, berikutan pelaksanaan subsidi bersasar.

 

“Alhamdulillah, Perdana Menteri akan menunaikan janji beliau kepada rakyat Malaysia. Insya-Allah, harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang hujung bulan ini.

 

“Walaupun mengambil sedikit masa, beliau tetap berpegang pada janji. Seorang pemimpin yang menepati kata, setiap janji akan ditunaikan demi manfaat rakyat Malaysia,” jelasnya.

 

Saifuddin Nasution turut menegaskan, kerajaan Madani tetap komited dalam membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta membangunkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

 

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi jaminannya harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang hujung bulan ini, sekali gus menzahirkan janji kerajaan Madani untuk meringankan beban rakyat. - DagangNews.com