KUALA LUMPUR 23 Jan — Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% disifatkan sebagai langkah konsisten pendirian dasar monetari menyokong pertumbuhan.
Menurut penganalisis, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat tersebut yang pertama untuk tahun ini, mengambil kira pelbagai faktor di sebalik ketidaktentuan luaran masih berterusan.
Firma penyelidikan sependapat, prospek OPR kekal stabil sepanjang 2026, selari dengan penilaian BNM terhadap pertumbuhan ekonomi semasa yang berdaya tahan dan tekanan inflasi kekal terkawal.
Maybank IB berpandangan, langkah MPC memberi isyarat kepada prospek OPR stabil, dengan pemotongan 25 mata asas sejak Julai 2025 itu dilihat sebagai 'insurans' bagi menyokong ekonomi tempatan.
"BNM mengekalkan penilaian seimbang terhadap prospek global dan domestik, dengan ekonomi dunia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 disokong perbelanjaan teknologi," katanya dalam satu nota.
Jelasnya, dasar fiskal dan monetari yang akomodatif turut membantu ekonomi negara ini, meskipun risiko kejutan tarif, geopolitik dan ketidaktentuan pasaran kewangan sebenarnya masih lagi wujud.
Di peringkat domestik pula, Maybank IB menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh sepanjang tahun ini dengan julat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam antara 4.0% hingga 4.5%.
"Paras ini dipacu oleh permintaan domestik, pelaburan, sektor pembuatan serta pelancongan. Inflasi dijangka sederhana, walaupun ada risiko kenaikan kos susulan pelarasan fiskal bersasar," jelasnya.
Artikel berkaitan: BNM kekalkan OPR 2.75%, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan sepanjang 2026
Paras OPR semasa kata firma penyelidikan itu, dilihat masih sesuai dan menyokong ekonomi serta mengekalkan kestabilan harga, sambil mengekalkan unjuran OPR kekal pada 2.75% sepanjang 2026.
CGS International pula menyifatkan keputusan pengekalan OPR sebagai jeda kadar ketiga berturut-turut, selari dengan jangkaan pasaran sendiri dan analisis konsensus daripada agensi Bloomberg.
Pada masa yang sama, ia melihat nada BNM ketika ini sebagai lebih positif berbanding mesyuarat MPC terdahulu pada 6 November 2025, khususnya terhadap prospek pertumbuhan global dan domestik.
"Antara faktor sokongan utama ialah keyakinan terhadap pelaburan teknologi, selain perbelanjaan berkaitan, serta jangkaan eksport elektrik dan pelancongan yang lebih kukuh tahun ini," katanya.
Di samping itu, CGSI turut menekankan bahawa anggaran awal KDNK 2025 berada di hujung atas unjuran rasmi oleh bank pusat berkenaan, sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan yang lebih teguh.
Bagaimanapun, BNM kekal berhati-hati dengan menekankan risiko penurunan daripada ketegangan geopolitik, ketidaktentuan tarif dan pasaran kewangan global, serta pemantauan penilaian tinggi.
Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran inflasi 2026 iaitu 1.5% dan menjangkakan tiada perubahan dasar monetari dalam tempoh yang terdekat menjelang mesyuarat MPC berikutnya pada 5 Mac 2026.
“Dalam ketiadaan tekanan permintaan berlebihan, kami menjangkakan BNM mengekalkan OPR 2.75% sepanjang 2026 dengan pendekatan dasar bergantung kepada data,” katanya. - DagangNews.com








