KUALA LUMPUR 3 Sept – Oppstar Bhd bersama anak syarikatnya, AIRIS Labs Sdn Bhd, telah memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tersenarai Taiwan, Inventec Corporation, dan anak syarikatnya, AsicAI Co Ltd, bagi kerjasama strategik dalam bidang pembangunan cip pemprosesan kecerdasan buatan (AI).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Oppstar berkata kerjasama tersebut akan menumpukan kepada reka bentuk dan pembangunan cip pemprosesan rangkaian AI generasi baharu, khusus bagi kegunaan pengkomputeran berprestasi tinggi dan aplikasi di peranti tepi.
Di bawah MoU pertama, Oppstar dan AIRIS Labs akan menyumbang kepakaran dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) serta sokongan teknikal berkaitan pembangunan cip.
Inventec pula akan menyumbangkan kepakaran dalam penyepaduan sistem, akses pasaran dan saluran pengkomersialan, manakala AsicAI akan mengambil peranan utama dalam menentukan seni bina cip dan menyumbang harta intelek (IP) pemproses neural (NPU) miliknya.
Bagi MoU kedua, AIRIS Labs dan AsicAI merancang untuk menubuhkan sebuah usaha sama (JV) dalam tempoh 90 hari bagi melaksanakan projek ini, tertakluk kepada proses ketekunan wajar (due diligence) dan kelulusan dalaman pihak terlibat.
AsicAI akan mengetuai aspek penentuan seni bina cip serta penyepaduan teknologi pemproses neural yang dimiliki mereka.
Kerjasama ini turut merangkumi penerokaan peluang di bawah inisiatif kerajaan, termasuk program ARM Ltd Compute Subsystem, bagi memanfaatkan sumber, insentif dan sokongan teknikal yang disediakan.
Menurut Oppstar, kolaborasi strategik ini dijangka memberikan sinergi yang lebih kukuh antara pihak-pihak terlibat dan menyumbang kepada kelestarian perniagaan melalui peluasan kehadiran di pasaran global.
"Kerjasama ini dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan masa hadapan syarikat," kata kumpulan itu dalam kenyataan tersebut. - DagangNews.com








